[VIDEO] SPRM beku akaun Bersatu

SPRM membekukan beberapa akaun milik Bersatu. - Gambar kecil: Azam
SPRM membekukan beberapa akaun milik Bersatu. - Gambar kecil: Azam
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurutnya, akaun terbabit dibekukan bagi membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram (illegal proceeds).

"Siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya pada Rabu.

Sebelum itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman mengesahkan pembekuan akaun berkenaan.

Dr Muhammad Faiz percaya pembekuan akaun itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.

Disember tahun lalu, SPRM telah menerima butiran daripada Kementerian Kewangan berhubung dana pakej rangsangan ekonomi dibelanjakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2020 dan 2021 berkait pengurusan Covid-19.

Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion.

Berdasarkan jumlah tersebut, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan

Justeru, fokus siasatan SPRM terarah kepada dana kerajaan RM92.5 bilion terbabit.