NUTP mohon KPM tawar semula jawatan guru sandaran

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon supaya Kementerian Pendidikan (KPM) menawarkan semula jawatan guru sandaran bagi menampung isu kekurangan guru termasuk di Sabah dan Sarawak.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, berdasarkan kajian dilaksanakan NUTP mendapati faktor kekurangan guru antaranya disebabkan pertambahan sekolah baharu, pertambahan murid dan kelas, persaraan awal dan wajib serta faktor kesihatan guru.

"Saya kira sudah lama KPM tidak tawarkan program guru sandaran, dahulu ia ditawarkan bagi tempoh kira-kira setahun hingga dua tahun kepada calon yang sesuai selepas tamat universiti, pengajian peringkat diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia... ini dapat menampung kekosongan yang ada.

"Tetapi sekarang sudah tiada sedangkan keperluan masih ada... mungkin menteri (pendidikan) boleh pertimbangkan untuk sementara waktu ini lantik guru sandaran, kalau kata ada lambakan para graduan pendidikan, walaupun tidak ikut opsyen sesuai, sekurang-kurangnya mereka boleh kendalikan sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Malaysia Petang Ini yang membincangkan Isu Kekurangan Guru: Di manakah Noktahnya? terbitan Bernama TV hari ini.

Dalam pada itu, Fouzi berkata, kekurangan guru di Sabah dan Sarawak antaranya disebabkan dasar hanya 10 peratus kuota guru dari Semenanjung yang boleh ditempatkan di wilayah berkenaan.

Justeru, beliau berharap pihak kerajaan negeri tersebut bersedia membuka kuota yang lebih banyak untuk ditawarkan kepada graduan pendidikan bagi menampung keperluan semasa. - Bernama