KBS akan minta MOF lebih banyak insentif cukai untuk penaja sukan

KBS) akan mengadakan perbincangan dengan Hannah Yeoh mengadakan sidang media selepas sesi Townhall Bersama Industri Sukan di Menara KBS hari ini.

 - Foto Bernama
KBS) akan mengadakan perbincangan dengan Hannah Yeoh mengadakan sidang media selepas sesi Townhall Bersama Industri Sukan di Menara KBS hari ini.

 - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) sebelum pembentangan Bajet 2023, 24 Februari ini, dalam usaha berterusan mendapatkan lebih banyak insentif cukai untuk sektor korporat berhasrat menaja penganjuran acara sukan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, walaupun setiap tahun tidak berjaya, pihaknya tidak berputus asa dalam memohon MOF untuk memberikan lebih banyak insentif cukai bagi penganjuran sukan.

Katanya, industri sukan akan makin malap apabila peruntukan kerajaan semakin berkurangan, tiada pemberian insentif cukai untuk penaja korporat dan tiada galakan untuk penganjur mencari penaja sendiri.

"Industri sukan akan ‘mati’ kalau kita tidak buat sesuatu yang kritikal,” katanya selepas sesi ‘townhall’ bersama industri sukan di Menara KBS, di sini, hari ini.

Hannah secara peribadi percaya industri sukan sememangnya berpotensi untuk menjadi antara sektor menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Namun, katanya, masalah dihadapi ketika ini ialah sumbangan daripada industri sukan itu, misalnya, penganjuran kejohanan antarabangsa di negara ini dikategorikan di bawah sektor lain seperti pelancongan sekali gus menampakkan seolah-olah sukan tidak memainkan peranan dalam pertumbuhan ekonomi.

Menyedari situasi itu akan mendatangkan kerugian kepada industri sukan itu sendiri, Hannah berkata KBS sedang mengumpulkan data-data penting sebelum tindakan lanjut dibuat dalam usaha mengatasi perkara itu.

"Masalah kita ialah bila sektor industri sukan bantu pertumbuhan ekonomi, ia tak dikategorikan sebagai sukan...ada banyak (sumbangan daripada industri sukan) yang masuk dalam sektor ekonomi lain ataupun masuk di bawah pelancongan, jadi kita yang rugi.

"Jadi kita nak mengumpulkan dan melihat data dan berbincang dengan MOF,” katanya.

Beliau turut menyifatkan industri sukan ialah sektor yang akan terus berkembang dan versatil pada masa akan datang.

Menurut Hannah, antara permasalahan lain dibangkitkan pada sesi townhall yang dihadiri 297 wakil industri sukan ialah berkaitan penganjuran sukan, skim insurans, hubungan khas dengan KBS dan pihak berkuasa tempatan (PBT), kadar lesen perkhidmatan dan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan.

"Pendekatan terhadap sukan mesti berubah dan kita perlu bermula dengan kerajaan terlebih dahulu...ramai katakan SOP (prosedur operasi standard) bersifat macam menghukum dan bukan promosikan sukan, jadi kami (KBS) nak lihat semula dan selidik dan perlukan kerjasama semua kementerian terlibat,” katanya. - Bernama