[VIDEO] Tubuh rejimen APM di setiap Parlimen - TPM

Ahmad Zahid (tengah) bergambar bersama sukarelawan di PPS Dewan Orang Ramai Sri Medan Batu Pahat pada Selasa.
Ahmad Zahid (tengah) bergambar bersama sukarelawan di PPS Dewan Orang Ramai Sri Medan Batu Pahat pada Selasa.
A
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan mengarahkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menubuhkan satu rejimen atau pasukan pertahanan awam di kesemua 222 Parlimen seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan rejimen itu sebagai langkah jangka masa panjang persediaan menghadapi bencana seperti banjir, kebakaran, kemalangan dan sebagainya.

Jelasnya, inisiatif itu akan dikoordinasi ke seluruh negara dan dijangka dimulakan pada tahun ini.

"Ketua Pesuruhjaya APM telah diminta untuk mewujudkan pasukan pertahanan awam dengan jumlah satu rejimen atau pasukan bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

"Anggota ini perlu diberikan latihan, pakaian seragam dan lakukan latihan setempat jika berlaku bencana banjir atau kebakaran, kemalangan, supaya bantuan awal dan segera dapat disalurkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Sri Medan di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid bertanya khabar kanak-kanak di PPS Dewan Orang Ramai Sri Medan Batu Pahat pada Selasa.
Ahmad Zahid bertanya khabar kanak-kanak di PPS Dewan Orang Ramai Sri Medan Batu Pahat pada Selasa.

Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah meninjau keadaan banjir di Kampung Sri Medan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu kerajaan bakal membina dewan kekal di sekolah-sekolah yang dijadikan PPS membabitkan kawasan sering dilanda banjir.

Katanya, ia akan dimulakan di lapan sekolah di negeri membabitkan kawasan Mersing dan Batu Pahat, sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

"Kebanyakan PPS menggunakan sekolah yang kebanyakannya berada di kawasan yang agak tinggi daripada kawasan banjir.

"Oleh itu menerusi 'smart partnership' antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan sekolah akan dilakukan bagi membina dewan kekal di sekolah-sekolah ini.

"Di luar musim banjir ia akan digunakan oleh sekolah untuk aktiviti mereka," katanya.