[VIDEO] Perbicaraan kes PU Azman ditetapkan 24 hingga 28 Julai

Pu Azman dan Mohd Zahid ditemui media di luar mahkamah.
Pu Azman dan Mohd Zahid ditemui media di luar mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 24 hingga 28 Julai ini sebagai tarikh perbicaraan pendakwah selebriti, PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias berhubung lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Hakim, Datin Surita Budin menetapkan tarikh tersebut pada prosiding sebutan semula kes pada Selasa selepas pihak peguam memohon tarikh awal berikutan tertuduh juga mempunyai kes di mahkamah Klang, Shah Alam dan Ampang

Beliau berkata, seramai 12 orang saksi pendakwaan mungkin dipanggil bagi memberi keterangan yang terdiri daripada doktor, ibu bapa, mangsa dan pegawai penyiasat.

Sebelum itu, peguam Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili PU Azman, memberitahu pihaknya membuat keputusan untuk mengemukakan representasi setelah menerima dokumen kes-kes di mahkamah lain yang membabitkan pengadu dan mangsa sama.

Ujarnya, ia bagi mengenal pasti sama ada kes di mahkamah tersebut mempunyai perkaitan atau tidak dengan kes di Mahkamah Seremban.

"Dalam kes ini terdapat 12 pertuduhan dan ada empat pengadu. Ada kemungkinan kita akan menghantar alibi.

"Jadi saya mencadangkan puan (hakim) menetapkan tarikh bicara kerana pertuduhan terhadap tertuduh melibatkan empat mahkamah termasuk di Shah Alam, Klang dan Ampang," katanya.

PU Azman berbaju kurta biru gelap tiba di mahkamah jam 9 pagi.
PU Azman berbaju kurta biru gelap tiba di mahkamah jam 9 pagi.

Surita kemudian menetapkan 25 Mei ini untuk keputusan representasi.

PU Azman yang dikenali dengan panggilan Cik Man memakai baju kurta berwarna biru gelap tiba di mahkamah pada jam 9 pagi dengan ditemani peguamnya.

Beliau kelihatan tenang berbanding kali pertama dihadapkan ke mahkamah.

Ditanya dirinya yang kini kelihatan aktif semula di Instagram, Pu Azman berkata, ramai yang menghantar soalan peribadi dan agama kepadanya.

"Alhamdulillah, setakat ini saya tidak ada masalah untuk menjawab soalan-soalan itu dan kadang-kadang ada yang tanya soalan berulang.

"Alhamdulillah saya juga sihat. Doakan," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan PU Azman mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 dan 16 tahun pada Februari dan Julai 2022.

Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai 2022 antara jam 3 pagi hingga 5 pagi.

Selain itu dia turut tidak mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan lain berhubung kesalahan jenayah seksual di Mahkamah Ampang, Klang dan Shah Alam.