Penoreh di Rantau Panjang gelisah, banyak pokok mati

Syed Agil sedih melihat setiap hari ada sahaja pokok getahnya yang tumbang kesan dari banjir termenung di Kampung Tersang, Rantau Panjang.
Syed Agil sedih melihat setiap hari ada sahaja pokok getahnya yang tumbang kesan dari banjir termenung di Kampung Tersang, Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Penoreh di sini gelisah memikirkan nasib mereka apabila melihat banyak pokok mulai mati selepas terkesan dengan banjir termenung yang sering melanda kawasan berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi mendapati kulit pokok getah mulai merekah.

Penoreh dari Kampung Tersang, Syed Agil Syed Idrus, 83, berkata, kulit pokok getah di hampir satu hektar tanah mulai merekah, tumbang dan selebihnya menunggu masa untuk mati disebabkan terlalu lama ditenggelami banjir termenung.

"Sebelum ini banjir hanya berlaku beberapa hari sahaja, namun kesan daripada projek PLSB (Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu) Sungai Golok menyebabkan berlakunya banjir termenung sehingga dua minggu," katanya.

Dia yang mengusahakan getah di tanah seluas lebih 2.4 hektar memberitahu, setiap kali hujan lebat pokok getahnya akan ditenggelami air sedalam dua meter.

Ujarnya, lebih memburukkan lagi keadaan apabila banjir yang lambat surut menyebabkan pokok getah menjadi rosak.

Syed Agil berkata, sepanjang tahun lalu hanya tiga bulan sahaja dia dapat menoreh dan selebihnya cuaca tidak mengizinkan.

"Sedih bila lihat ada sahaja pokok yang tumbang setiap hari. Sehingga hari ini saya masih lagi tidak boleh menoreh, dan melihat kepada keadaan cuaca sekarang mungkin Mac depan (baru boleh menoreh)," katanya.

Omar menunjukkan keadaan terkini pokok getahnya yang merekah akibat terlalu lama ditenggelami banjir termenung sebelum ini di Kampung Lubok Setol, Rantau Panjang.
Omar menunjukkan keadaan terkini pokok getahnya yang merekah akibat terlalu lama ditenggelami banjir termenung sebelum ini di Kampung Lubok Setol, Rantau Panjang.

Manakala pemilik kebun getah, Omar Hamat, 61, dari Kampung Lubok Setol, berkata, lebih 50 batang pokok getah miliknya mati disebabkan ditenggelami air terlalu lama.

Menurutnya, banjir termenung yang lama menyebabkan dua hektar tanaman getahnya ditenggelami air sehingga paras satu meter.

Ujarnya, pendapatan sebagai penoreh merosot apabila sepanjang tahun hanya empat bulan sahaja aktiviti menoreh boleh dilakukan.

Omar berkata, selebihnya cuaca tidak menentu sehingga memaksa dia untuk 'menggantungkan' pisau torehnya.

"Dalam sebulan, saya hanya mampu memperoleh pendapatan sekitar RM600.

"Mujurlah ada bantuan musim tengkujuh sebanyak RM300 dapat menampung perbelanjaan dapur," katanya.

Sementara itu, Ismail Latiff, 45, yang bekerja mengambil upah sebagai penoreh berkata, dia terpaksa bertukar kerjaya buat sementara waktu untuk memastikan dapur rumahnya terus berasap.

"Buat masa ini saya bekerja sebagai buruh binaan. Sebelah petang saya turun ke kawasan bendang untuk menahan belut bagi menambah pendapatan.

"Keadaan cuaca dan pokok getah yang banyak rosak menjejaskan pendapatan saya," katanya.