MVP Healthcare, Pfizer bantu Malaysia keluarkan vaksin

Lih Kang pada sidang media selepas menyaksikan sesi pertukaran MoU antara NIBM, MVP Healthcare dan Pfizer Malaysia di Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) pada Isnin.
Lih Kang pada sidang media selepas menyaksikan sesi pertukaran MoU antara NIBM, MVP Healthcare dan Pfizer Malaysia di Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) pada Isnin.
A
A
A

BANGI - Malaysia akan mengeluarkan vaksin sendiri menjelang 2030 sebagai usaha kesiapsiagaan negara dalam menghadapi pandemik pada masa akan datang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, kapasiti pembangunan vaksin manusia itu melibatkan kerjasama kerajaan dan pihak swasta agar Malaysia tidak perlu bergantung kepada pengeluar dari negara lain.

Beliau menjelaskan, pembangunan berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) melalui Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) bersama MVP Healthcare Sdn Bhd (MVP Healthcare) dan Pfizer Malaysia Sdn Bhd (Pfizer Malaysia).

"Kita mahu membangunkan kapasiti (vaksin) terlebih dahulu sebelum menentukan jenis vaksin yang akan dihasilkan mengikut keperluan.

“Memang negara mampu melakukan penjimatan dari segi kos jika berjaya menghasilkan vaksin sendiri, namun apa yang lebih penting adalah keselamatan vaksin untuk Malaysia.

"Ketika pandemik Covid-19 lalu, kita bergantung 100 peratus kepada pengeluar dari luar negara untuk mendapatkan vaksin, namun sekiranya ada kapasiti untuk menghasilkan vaksin manusia, ini bermaksud negara sudah tidak perlu bergantung pengeluar lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksian sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara NIBM, MVP Healthcare dan Pfizer Malaysia di Institut Genom dan Vaksin Malaysia pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif NIBM, Datuk Dr Raha Abdul Rahim (depan, tengah) bersama Ketua Kluster Negara Pfizer, Luksunawan Thangpaibool (depan, kiri) dan wakil MVP, Rashidah Ibrahim ketika sesi pertukaran MoU di MGVI pada Isnin.
Ketua Pegawai Eksekutif NIBM, Datuk Dr Raha Abdul Rahim (depan, tengah) bersama Ketua Kluster Negara Pfizer, Luksunawan Thangpaibool (depan, kiri) dan wakil MVP, Rashidah Ibrahim ketika sesi pertukaran MoU di MGVI pada Isnin.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, MoU berkenaan bertujuan meneroka potensi projek bersama yang mampu merancakkan pembangunan ekosistem vaksin tempatan.

Selain itu ia membolehkan Malaysia mengembangkan kerjasama dan mengenal pasti bidang untuk dibangunkan menerusi kerjasama strategik selaras Pelan Halatuju Pembangunan Vaksin Negara.

Sementara itu ditanya mengenai kos membangunkan vaksin, Lih Kang berkata, ia akan dimuktamadkan sejurus kerjasama berkenaan memasuki fasa perjanjian.

"Jika vaksin ini berjaya dihasilkan, ia bukan saja untuk kegunaan dalam negara tetapi kita juga sasarkan untuk dijual ke negara lain.

"Dalam masa sama, kita turut menggalakkan kerjasama dengan syarikat pengeluar vaksin lain di masa akan datang," ujarnya.