Mangsa banjir di Johor menurun, dua PPS ditutup

Lima daerah di Johor melibatkan Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Kluang dan Batu Pahat masih terjejas akibat banjir. - Foto APM
Lima daerah di Johor melibatkan Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Kluang dan Batu Pahat masih terjejas akibat banjir. - Foto APM
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan penurunan apabila seramai 2,683 mangsa daripada 758 keluarga masih ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari Isnin.

Menurut laporan daripada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), penurunan berkenaan juga menyaksikan dua lagi PPS ditutup melibatkan SK Kahang Batu 28, Kluang dan Balai Raya Kampung Durian Chondong Tangkak.

"Jumlah mangsa banjir di Johor didapati menurun setakat 12 tengah hari, walaupun dilaporkan meningkat pada jam 8 pagi tadi (Isnin).

"Susulan itu, dua PPS juga telah ditutup setakat 12 tengah hari Isnin, menjadikan hanya 29 PPS yang masih beroperasi ketika ini bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir di kawasan yang masih terjejas," menurut laporan berkenaan.

Untuk rekod, dalam tempoh berkenaan, lima daerah di Johor melibatkan Segamat, Mersing, Kota Tinggi, Kluang dan Batu Pahat masih terjejas akibat banjir.

Ketika ini, daerah Batu Pahat mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dengan 952 mangsa daripada 270 keluarga masih ditempatkan di lapan PPS di daerah berkenaan.

Daerah Mersing pula mencatatkan jumlah mangsa kedua paling ramai apabila 830 mangsa daripada 243 keluarga kini berada di enam PPS, diikuti Kota Tinggi (459 mangsa, 120 keluarga, sembilan PPS), Kluang (350 mangsa, 97 keluarga, dua PPS) dan Segamat (92 mangsa, 28 keluarga, empat PPS).

Sementara itu berdasarkan laporan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Jalan Tanah Abang/Selekoh Pertama Abang di laluan 1228 Seksyen 1.0, ditutup kepada semua kenderaan kerana masih dinaiki air setinggi 1.0 meter.

Selain itu, Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di laluan J08 Seksyen 3.5 turut ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air setinggi 12 meter hingga mengakibatkan tanah runtuh (cerun runtuh) di laluan berkenaan.

"Kedua-dua jalan ini ditutup untuk semua kenderaan dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa," menurut laporan berkenaan.