DBKL arah projek menara 44 tingkat dihentikan serta-merta

Laporan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang susulan kejadian penjajaran landasan bengkok. (Gambar kecil: Mahadi)
Laporan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang susulan kejadian penjajaran landasan bengkok. (Gambar kecil: Mahadi)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan arahan memberhentikan kerja serta-merta terhadap sebuah projek pembinaan menara 44 tingkat di Lot PT 163, Jalan Raja Laut di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, tindakan itu dibuat susulan gangguan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang yang berlaku pada Jumaat lepas.

Menurutnya, rentetan daripada kejadian itu, DBKL telah bermesyuarat bersama wakil daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan beberapa jabatan dalaman DBKL pada Sabtu.

"Hasil daripada mesyuarat tersebut, DBKL telah mengeluarkan Arahan Memberhentikan Kerja (Stop Work Order) serta-merta kepada pemilik projek pembinaan tersebut.

"Arahan ini dibuat bagi memastikan APAD dan agensi berkaitan dapat menjalankan siasatan, penelitian, seterusnya mengenal pasti punca gangguan yang berlaku baru-baru ini," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

APAD sebelum ini mengesyorkan DBKL membuat penggantungan pembangunan dan aktiviti terhad di zon perlindungan kereta api serta-merta susulan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang.

Gangguan perkhidmatan berlaku disebabkan penjajaran landasan yang bengkok berhampiran Stesen LRT Bandaraya ekoran kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan bersebelahan.

Prasarana mengambil keputusan menghentikan perkhidmatan di antara Stesen Bandaraya dan Masjid Jamek selepas mengambil kira faktor keselamatan.

Mahadi berkata, projek tersebut kini hanya di peringkat awalan iaitu melibatkan kerja-kerja tanah di luar daripada kawasan zon 1 dan zon 2 (protection zone).

Tambahnya, DBKL menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat akan melibatkan APAD dan Prasarana bagi mendapatkan pandangan agensi berkenaan khususnya apabila terdapat permohonan pembangunan yang terletak dalam atau berhampiran dengan zon keselamatan kereta api.