Rapid KL lanjut perkhidmatan LRT, Monorel pada waktu puncak

Perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan Monorel dilanjutkan pada waktu puncak pagi dan petang bermula Isnin.- Gambar hiasan
Perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan Monorel dilanjutkan pada waktu puncak pagi dan petang bermula Isnin.- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rapid KL akan melanjutkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling dan Monorel pada waktu puncak pagi dan petang bermula Isnin.

Prasarana dalam satu kenyataan berkata, langkah itu diambil susulan gangguan perkhidmatan di antara dua stesen iaitu LRT Bandaraya dan LRT Masjid Jamek sejak Jumaat.

Menurut kenyataan itu, operasi waktu puncak akan dilanjutkan dari jam 6.30 pagi hingga 10.30 pagi berbanding jadual asal iaitu jam 7 pagi hingga 9.30 pagi.

"Bagi waktu puncak petang pula, (operasi) akan dipanjangkan dari jam 4.30 petang hingga 8.30 malam berbanding jadual asal iaitu 5 petang hingga 7.30 malam.

"Lanjutan operasi waktu puncak ini untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna untuk merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen rel khususnya di stesen pertukaran LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Hang Tuah, " katanya menerusi kenyataan akhbar pada Ahad.

Ujar kenyataan itu, bilangan bas perantara percuma juga akan ditambah kepada 34 unit bas dengan kekerapan 10 minit bergantung kepada keadaan lalu lintas.

"Bagi melancarkan perjalanan dan pergerakan penumpang, Rapid KL juga akan menambah bilangan kakitangan sokongan bagi mengawal dan membantu penumpang yang memerlukan bantuan di stesen-stesen rel.

"Inisiatif ini adalah komitmen Rapid KL dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna adalah sentiasa dalam tahap yang terbaik," katanya.

Pada Jumaat, Rapid Rail memaklumkan operasi perkhidmatan LRT Laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran Stesen LRT Bandaraya.

Keputusan untuk menghentikan perkhidmatan di antara dua stesen tersebut dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan.