Mangsa banjir Johor menurun kepada 2,564

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu mangsa banjir di Kampung Contoh, Kahang berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang, Kluang. - Foto ihsan APM Kluang
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu mangsa banjir di Kampung Contoh, Kahang berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang, Kluang. - Foto ihsan APM Kluang
A
A
A
JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 2,564 orang daripada 718 keluarga di 31 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam Ahad.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah berkenaan menunjukkan penurunan berbanding 2,729 orang daripada 765 keluarga di 30 PPS pada jam 4 petang.

"Mangsa banjir berkenaan adalah dari Mersing; Kluang; Kota Tinggi; Batu Pahat, Segamat dan Tangkak. Selain itu, satu PPS baru dibuka hari ini di Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, Mersing yang menempatkan 46 mangsa banjir daripada 11 keluarga.

"Mereka merupakan mangsa banjir dari Kampung Kampung Tenglu dan Kampung Air Papan. Sebuah lagi PPS turut dibuka hari ini (Ahad) di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chong Hwa di Batu Pahat, maklumat mengenai mangsa banjir berkenaan sedang dikemas kini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau memberitahu, mangsa banjir paling ramai masih lagi di Mersing melibatkan 839 orang daripada 244 keluarga di tujuh PPS.



Katanya, mangsa banjir di Batu Pahat pula kini berjumlah 774 orang daripada 221 keluarga di lapan PPS; di Kluang 422 orang daripada 117 keluarga di tiga PPS dan di Kota Tinggi 422 orang daripada 105 keluarga di lapan PPS.

"Di Segamat mangsa banjir yang tinggal hanya 92 orang daripada 28 keluarga di empat PPS manakala di Tangkak seramai 15 orang daripada tiga keluarga di sebuah PPS," ujar beliau.