Pengunjung Pantai Irama waspada ombak besar, angin kencang

A
A
A

BACHOK - Pengunjung di Pantai Irama di sini mengambil langkah berwaspada ketika berada di lokasi pelancongan itu berikutan ombak besar dan angin kencang.

Tinjauan Sinar Harian mendapati pengunjung berkurangan sehingga 90 peratus manakala enam Petugas Penyelamat Pantai dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan rondaan di lokasi sepanjang 800 meter di pantai itu.

Selain itu, bendera berwarna merah turut dikibarkan sebagai tanda peringatan bahaya kepada pengunjung.

Anggota APM menaikkan bendera sebagai tanda amaran keadaan pantai yang berbahaya.
Anggota APM menaikkan bendera sebagai tanda amaran keadaan pantai yang berbahaya.

Seorang petani, Shahir Mohamood, 37, berkata, dia singgah sebentar ke pantai itu bersama dua anak lelaki yang berusia empat dan dua tahun untuk melihat sendiri keadaan ombak ketika Monsun Timur Laut ini.

“Ombak berlaku sejauh kira-kira 100 meter ke daratan berbanding keadaan biasa.

“Untuk keselamatan, saya tidak akan berada lama di tepi pantai pada waktu sebegini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pantai Irama di sini pada Ahad.

Shahir
Shahir

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pekerja kedai makan, Nur Ain’na Jusriman, 22, berkata, pelancong masih mengunjungi kedai-kedai makan di pantai itu, namun tidak ramai yang berani dekat dengan kawasan pantai kerana bimbang keadaan ombak yang kuat menghempas tebing batu.

“Tebing dibina oleh kerajaan negeri ini asalnya berada di bahagian daratan, tetapi ketika ini sudah tenggelam akibat ombak besar yang berlaku. Papan tanda nama Pantai Irama Bachok juga sudah musnah akibat angin kencang.

Pengunjung di Pantai Irama, Bachok dilihat berkurangan berikutan keadaan pantai yang berbahaya ketika ini.
Pengunjung di Pantai Irama, Bachok dilihat berkurangan berikutan keadaan pantai yang berbahaya ketika ini.

“Keadaan ombak ini akan lebih kuat menghempas pantai pada waktu tengah malam sehingga melimpah masuk ke dalam gerai-gerai makan yang ada di pesisir pantai,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Mas Hamid, 44, berkata, sebagai penduduk asal di kawasan pantai di Bachok, dia sudah terbiasa dengan fenomena ombak besar yang berlaku pada setiap tahun.

“Penduduk sudah tahu dan faham keadaan bahaya pantai waktu ini. Tidak ada yang berani untuk bermain air atau mandi-manda walaupun hanya di gigi pantai.

Pengunjung di Pantai Irama, Bachok dilihat berkurangan berikutan keadaan pantai yang berbahaya ketika ini.
Pengunjung di Pantai Irama, Bachok dilihat berkurangan berikutan keadaan pantai yang berbahaya ketika ini.

“Langkah diambil bagi menghindari kejadian lemas bahkan mengelak risiko ditimpa pokok tumbang semasa angin kencang,” katanya.