Armizan, tiga MP kekal dalam GRS, tak sertai Gagasan Rakyat

Armizan ketika ditemui pemberita selepas hadir pada majlis perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan pelancaran Sayap Pelajar GRS di Kota Kinabalu pada Ahad.
Armizan ketika ditemui pemberita selepas hadir pada majlis perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan pelancaran Sayap Pelajar GRS di Kota Kinabalu pada Ahad.
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan bahawa beliau sebagai ahli dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tidak akan menyertai parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar menjelaskan bahawa mereka terikat kepada undang-undang berikutan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti telah dikuatkuasakan.

"Status kami kekal sebagai ahli kepada GRS dan kami ahli secara langsung dalam GRS dan kami tidak akan menyertai parti baharu Gagasan Rakyat kerana undang-undang tidak membenarkan.

"Jadi kami kekal sebagai ahli melalui keahlian secara langsung sebagaimana sebelum pilihan raya kita telah pun menjadi ahli secara langsung kepada GRS," jelasnya kepada pemberita ketika hadir pada majlis perasmian Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan pelancaran Sayap Pelajar GRS di sini pada Ahad.

Armizan berkata demikian ketika diminta menjelaskan status beliau terkini selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengugurkan keahlian mereka berikutan tindakan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan keluar daripada Bersatu.

Selain Armizan, tiga lagi ahli Parlimen lain ialah Khairul Firdaus Akhbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh Bersatu selepas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memaklumkan bahawa kerusi empat ahli Parlimen itu tidak dikosongkan, Armizan berkata, setakat ini pihaknya menyerahkan keputusan kepada mahkamah.

"Kita serahkan kepada mahkamah untuk memutuskan, itu hak mereka. Walaupun Speaker Dewan Rakyat telah membuat keputusan sebab di dalam perundangan Persekutuan itu jelas bahawa hak dan juga keputusan itu adalah pada Speaker.

"Sekiranya pihak-pihak yang berkenaan masih tidak berpuas hati maka itu hak mereka untuk mengajukan perkara itu kepada platform lain," katanya.

Katanya lagi, setakat ini beliau juga belum menerima sebarang notis daripada pihak berkenaan mengenai perkara itu.

Pada 17 Januari lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu akan merujuk keputusan empat ahli Parlimen GRS tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing ke mahkamah.

Beliau berkata, keputusan itu diambil kerana didapati berlaku kekhilafan dalam membuat tafsiran mengenai perlembagaan parti itu.