Frasa kawasan pertindihan, pertikaian tidak wajar digunakan

Saifuddin - Foto Bernama
Saifuddin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mempertikaikan penggunaan frasa kawasan pertindihan (overlapping claims) dan kawasan pertikaian (disputed water) bagi kawasan perairan Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) di perairan Sarawak.

Saifuddin berkata, frasa itu tidak sesuai memandangkan Beting Patinggi Ali adalah milik Malaysia dan berada di dalam kawasan perairan negara yang berdaulat.

"Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan ingin mengingatkan beliau agar berhati-hati memberi penjelasan mengenai perairan negara.

"Ini kerana, frasa tersebut tidak wajar digunakan, ia membawa makna yang boleh digunakan pihak lain untuk tujuan merugikan Malaysia," jelasnya.

Media melaporkan Kementerian Pertahanan (Mindef) menegaskan pihaknya mempunyai aset yang mencukupi untuk memantau kawasan pertikaian, sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) di perairan Sarawak.

Mohamad memberitahu langkah itu dibuat bagi memantau kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan milik Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Tambah Saifuddin, Mohamad perlu mendapatkan nasihat daripada Kementerian Luar Negeri terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan yang sedemikian.