Mangsa banjir Johor menurun 2,464 orang

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan pemantauan kawasan banjir di Kluang.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan pemantauan kawasan banjir di Kluang.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bilangan mangsa banjir di Johor terus menurun dengan jumlah terkini mencatatkan 2,464 orang daripada 674 keluarga di 29 pemindahan sementara (PPS) setakat jam 2 petang Sabtu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu berbeza jika dibandingkan dengan 2,466 mangsa banjir daripada 669 keluarga di 28 PPS pada jam 12 tengah hari.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, penurunan itu selepas lapan PPS di dua daerah ditutup antara jam 12 hingga 12.30 tengah hari Sabtu.

"Penurunan ini susulan penutupan PPS di Segamat dan Mersing. Di Segamat penutupan melibatkan sebuah PPS yang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Bukit Tunggal dan Kampung Kuala Paya di Dewan Balai Raya Kampung Bukit Tunggal serta Balai Raya Kampung Kuala Paya.

"Di Mersing penutupan enam PPS melibatkan mangsa banjir dari Kampung Tenglu Besar, Kampung Benaung dan Kampung Sawah Dato yang ditempatkan di SK Tenglu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Keadaan Jalan Mersing-Kota Tinggi-Johor Bahru kini boleh dilalui semua kenderaan tetapi hanya satu lorong sahaja dibuka.
Keadaan Jalan Mersing-Kota Tinggi-Johor Bahru kini boleh dilalui semua kenderaan tetapi hanya satu lorong sahaja dibuka.

Beliau berkata, begitu juga mangsa banjir dari Kampung Air Papan Tengah di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan dan mangsa banjir dari Rumah Kilat Jalan Mohd Aris, Kampung Pengkalan Batu serta Kampung Jemari di SK Sri Mersing sudah dibenarkan pulang.

Katanya, ini termasuk mangsa banjir dari Kampung Bahagia, Kampung Sri Lumpur, Kampung Pengkalan Batu dan Kampung Sri Pantai yang ditempatkan di Sekolah Agama (SA) Mersing Kanan sudah balik ke rumah masing-masing.

Selain itu ujar Azmi, mangsa banjir dari Kampung Bahagia, Kampung Sri Lumpur, Lingkaran Soteri, Air Merah yang dipindahkah ke SA Bukit Timbalan turut dibenarkan pulang ke kediaman mereka.

Tambahnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, begitu juga mangsa banjir dari Air Merah, Kampung Bahagia, Kampung Sri Lumpur, Kampung Sri Bayu dan Kampung Pengkalan Batu di SA Pengkalan Batu sudah dibenarkan pulang.

Sementara itu, beliau berkata, di Kota Tinggi, Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas sudah dibuka untuk kenderaan berat manakala Jalan Johor Bahru-Endau diuka untuk satu lorong sahaja.

Bagi Jalan Mawai Lama pula laluan itu sudah dibuka untuk kenderaan manakala di Mersing, Jalan Tanah Abang masih ditutup untuk semua kenderaan sementara di Kulai, Jalan Putting dan kawasan kebun berhampiran dibuka untuk kenderaan ringan sahaja.

Di Jalan Bekok pula katanya, turut dibuka untuk kenderaan ringan namun di Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau masih ditutup untuk semua kenderaan selepas berlaku tanah runtuh.

"Di Kluang pula Jalan Kahang Barat, Jalan Kampung Sri Timur dan Jalan Mardi dibuka untuk kenderaan berat dan ringan," katanya.