'Usah hipokrit isu HDB Singapura' - Kor Ming

Kor Ming (tiga dari kiri) mendengar penerangan daripada pihak PR1MA ketika melawat Residensi Kepayang, Fair Park di Ipoh pada Sabtu.
Kor Ming (tiga dari kiri) mendengar penerangan daripada pihak PR1MA ketika melawat Residensi Kepayang, Fair Park di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Pihak yang mempertikaikan keputusan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung isu perkongsian kepakaran daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura disifatkan sebagai hipokrit.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, sikap dwistandard juga tidak sepatutnya wujud dalam usaha kerajaan mahu menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Sebenarnya pihak mereka yang membangkitkan ini adalah saya tegaskan memang hipokrit kerana merekalah yang membuat lawatan ke Singapura untuk belajar daripada HDB tetapi gagal.

"Apabila kita mahu belajar, mereka pula beri komen-komen yang tidak senonoh. Ini menunjukkan sikap dwistandard yang tidak sepatutnya wujud.

"Saya yakin dengan pegawai-pegawai kementerian, memang kita ada kepakaran sendiri tetapi kita juga ada kelemahan yang boleh diperbaiki," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Kepayang, Fair Park di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Datuk Azhar Ahmad.

Menurut beliau, perkongsian ilmu dan kepakaran dengan pelbagai negara bukanlah suatu perkara baharu.

Tambahnya, Malaysia banyak mengadakan kerjasama menerusi konsep government to government (G2G) bukan sahaja Singapura malah negara Thailand dan Indonesia.

"Bukan sahaja dari Singapura, kerajaan dulu pun kita ambil konsultan daripada Australia, Eropah, Amerika Syarikat malah tahun ini merupakan ulang tahun ke-41 Dasar Pandang Ke Timur, kita belajar daripada Jepun.

"Jika kita boleh belajar dari Jepun, mengapa tidak boleh belajar daripada Singapura? Yang penting perkara ini membawa manfaat kepada rakyat," jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia akan membawa masuk pakar daripada agensi-agensi perumahan Singapura, HDB untuk menambah baik sektor perumahan di negara ini.

Hubungan bersama pihak HDB Singapura telah dimulakan sejak tahun 2018 lagi apabila mantan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama delegasi telah menyertai lawatan ke Singapura.

Pada masa sama, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dan mengkaji semula tindakan serta keputusan KPKT itu kerana mengambil kira soal kedaulatan dan keselamatan negara.