X

Kindly register in order to view this article
!

Impian Ramadan dua beradik Syria

Sahlan Abdoul Halim, 12, (kanan) dan adiknya Shahir Abdoul Halim, 9, bergambar di lorong rumahnya di kem pelarian Eman Yatim, Ad Danah, pada Rabu. - Bernama
A
A

IDLIB - SYRIA. Impian dua beradik lelaki untuk menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba bersama kedua ibu bapa mereka kini hanya tinggal harapan apabila si ayah telah pun terkorban akibat ditembak rejim Basyar Al Assad hujung tahun lepas.

Kedua-dua beradik, Sahlan Abdoul Halim, 12, dan adiknya Shahir, 9, yang berasal daripada kota Hama, kini hanya mampu meraikan bulan mulia itu di samping mangharungi hari-hari seterusnya bersama ibu mereka di Kem Eman Yatim.

"Kami masih ingat impian arwah ayah kami, Abdoul Halim Hamden untuk menyambut Ramadan sebelum menyambut Aidilfitri di kampung ibu kami di Aleppo. Namun ayah akhirnya syahid ditembak di dada ketika tentera rejim menyerang kampung kami pada tengah malam 6 Okober tahun lepas.

"Ketika serangan itu seramai 60 orang telah pun gugur syahid dan kami bertiga terpaksa melarikan diri di kampung berhampiran sebelum kami akhirnya ditempatkan di kem ini atas bantuan pihak Turkiye Diyanet Foundation (TDV) awal tahun ini," katanya ketika ditemui di kem itu di daerah Ad danah, pada Rabu.

Namun Sahlan menyatakan yang walaupun dia kini menggalas tugas sebagai tunjang keluarga, dia perlu kuat demi melindungi ibu dan adiknya serta memasang impian untuk memberikan mereka kehidupan lebih bermakna apabila beliau dewasa nanti.

Adiknya Shahir, pula ternyata amat merindui kelibat arwah ayahnya yang dahulu bekerja di sebuah kilang roti di Hama, di mana dia kini tidak ingin lagi menjamah roti kerana akan terkenang memori indah bersama arwah ayahnya itu.

"Setiap malam sewaktu ayah balik bekerja dari kilang pasti dia akan membawa sebungkus plastik berisi roti Saj (sejenis roti makanan tradisional rakyat Syria) dan kini saya tidak ingin lagi menjamah roti itu walaupun disua oleh ibu.

"Saya cuma berharap Ramadan kali ini dapat diraikan bersama abang, ibu dan juga kawan-kawan di kem ini dengan aman tanpa perlu risau akan bedilan bom ataupun diserang regim secara tiba-tiba," katanya.

Kedua-dua kanak-kanak itu ditemui ketika 11 orang delegasi daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) tiba di kem pelarian itu bagi menyampaikan bantuan berupa daging kambing yang telah dipek dalam plastik, tepung gandum, selimut tebal, serta barangan bantuan lain kepada lebih 100 keluarga yang berlindung di kem itu.

Rakyat Malaysia yang ingin menghulurkan bantuan berupa wang ringgit bagi Misi Kemanusiaan Rescue Syria kali ke-12 boleh berbuat demikian di www.tabungsyria.com atau Maybank 5628-3463-6987 (Syria Emergency Appeal) agar pelarian Syria terutamanya yang yatim piatu dapat terus disantuni serta meringankan penderitaan yang dihadapi mereka selama ini.

Untuk rekod, Kem Eman Yatim merupakan sebuah kem pelarian yang dibina oleh agensi wakaf kerajaan Turki TDV yang menempatkan lebih 400 orang, yang separuh daripada jumlah itu ialah kanak-kanak yang telah kehilangan ayah mereka akibat perang yang tercetus di negara itu sejak lapan tahun lepas dan masih belum menunjukkan tanda akan berhenti dalam masa terdekat. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!