Syor tubuh jawatankuasa kabinet

Perolehan aset-aset keselamatan dan pertahanan negara perlu bersih dari amalan rasuah dan salah guna kuasa. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Erwan)
Perolehan aset-aset keselamatan dan pertahanan negara perlu bersih dari amalan rasuah dan salah guna kuasa. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Erwan)
A
A
A

SHAH ALAM - Pembentukan satu jawatankuasa kabinet atau jawatankuasa khusus perlu dipertimbangkan untuk meneliti proses menambah baik keseluruhan aset pertahanan negara.

Penasihat Kebajikan Keluarga Bekas Polis dan Tentera (POLTERA), Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir berkata, meskipun rakyat dimaklumkan tentang pelbagai perolehan aset terbaru yang dibeli, namun adakah pembelian tersebut berupaya menggantikan keseluruhan aset dan persenjataan negara yang sedia ada.

Beliau yang juga Ahli Majlis Eksekutif, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, Malaysia sememangnya ada membuat pembelian melibatkan beberapa aset pertahanan seperti kapal selam, kapal tentera laut, helikopter tempur dan persenjataan lain.

Meskipun begitu, katanya, pembelian tersebut masih tidak berupaya menggantikan aset sedia ada yang mana kebanyakan aset keseluruhan pertahanan negara termasuk di darat, laut dan udara boleh dikategorikan sebagai 'usang'.

Menurutnya, ketika Malaysia berusaha memantapkan sistem pertahanannya, timbul pula isu ketirisan melibatkan proses pembelian aset dan antara isu paling hangat diperkatakan membabitkan kapal tempur pesisir (LCS).

“Isu seumpama ini bukan sahaja mengakibatkan imej Malaysia terjejas dari sudut pentadbiran, tetapi secara umumnya menyebabkan negara-negara jiran memandang remeh terhadap kesiap siagaan aset-aset pertahanan negara.

“Untuk itu, saya berpendapat bahawa satu jawatankuasa kabinet atau jawatankuasa khusus perlu diwujudkan bagi meneliti usaha penambah baik seluruh aset pertahanan.

“Ini mencakupi semua agensi penguatkuasaan dan keselamatan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan agensi-agensi lain," katanya kepada Sinar Harian.

Erwan memberitahu, suatu yang pelik di Malaysia apabila 'orang awam' diberi kelayakan penuh dalam menguruskan proses perolehan sistem atau aset pertahanan negara.

Ini kerana, katanya, Menteri Pertahanan serta menteri lain yang terlibat dalam mentadbir kementerian bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan dan keselamatan negara adalah daripada kalangan orang awam.

Malah, menurutnya, Ketua-Ketua Setiausaha juga adalah daripada kalangan penjawat awam termasuk yang terlibat dalam meluluskan spesifikasi dan bajet perolehan.

“Bagaimana seluruh permintaan perolehan oleh end-user iaitu agensi-agensi pertahanan dan keselamatan diteliti malah diluluskan oleh orang awam?

“Kadang kala kita sebagai rakyat marhaen masih boleh melihat senjata-senjata api yang agak usang di tubuh seragam anggota polis yang bertugas,” ujar beliau.