Parlimen perlu berasingan, bebas - Rais

Rais ketika berucap pada program ‘Parliament Lecture Series: Resetting Malaysian Economy’ di Dewan Persidangan, Parlimen pada Jumaat. - Foto Bernama
Rais ketika berucap pada program ‘Parliament Lecture Series: Resetting Malaysian Economy’ di Dewan Persidangan, Parlimen pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parlimen seharusnya berasingan serta berbeza daripada badan kehakiman dan badan eksekutif selaras dengan semangat reformasi, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, ia boleh dicapai dengan meminda Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

"Pentadbiran Parlimen masih dikawal oleh kerajaan yang berkuasa, menerusi sebuah jabatan (di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri)... sudah tentu bukan itu caranya, ini bukan perkara yang boleh dipandang ringan.

"Oleh itu, kita berpendapat bahawa tempoh untuk perubahan sedang berlaku, kita yang wujudkannya, dan kita perlu bertanya satu soalan: bagaimana kita boleh mengubah senario ini? Jawapannya (ialah) kita ubah undang-undang," katanya semasa menyampaikan syarahan pada sesi Parliament Lecture Series 1.0: Resetting the Malaysian Economy di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, bagi menjadikan Parlimen lebih bebas, badan legislatif perlu memiliki sumber kewangan sendiri, sumber pentadbiran, dan kuasa untuk menentukan perjalanan Parlimen secara dalaman, sebagaimana Kongres Amerika Syarikat dan House of Commons United Kingdom.

Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenalkan pada 1963, membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangannya dan mengawal perbelanjaannya, namun ia telah dimansuhkan pada 1992.

Mengenai Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, beliau berkata, mengikut undang-undang, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara mempunyai kuasa eksekutif dari segi mengawal tingkah laku Ahli Parlimen dan Senator dari segi mejaga ketertiban.

Beliau seterusnya memberikan beberapa contoh salah laku Ahli Parlimen yang disifatkan sebagai perbuatan salah di sisi undang-undang, dan mencadangkan supaya pindaan itu perlu dilakukan untuk meningkatkan denda, dan supaya Peraturan Mesyuarat mematuhi Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. - Bernama