Mangsa banjir di Sabah melonjak lebih 10,000 orang

Proses memindahkan mangsa yang terjejas akibat banjir ke PPS sedang dilakukan pasukan penyelamat di Pitas.
Proses memindahkan mangsa yang terjejas akibat banjir ke PPS sedang dilakukan pasukan penyelamat di Pitas.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jumlah mangsa banjir di Sabah mencatat peningkatan mencecah lebih 10,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 9 malam Jumaat.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, seramai 10,312 mangsa membabitkan 3,564 ketua isi rumah (KIR) dipindahkan ke 33 PPS yang dibuka di lima daerah di negeri ini.

Daerah Pitas mengalami pertambahan seramai 638 orang menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang ditempatkan di sembilan PPS adalah seramai 2,160 orang.

Sementara itu, jumlah mangsa di tiga daerah kekal iaitu Kota Marudu seramai 7,538 orang membabitkan 12 PPS, Paitan seramai 664 orang membabitkan sembilan PPS dan Tawau terdapat seramai 109 orang ditempatkan di sebuah PPS.

Bagi di Telupid pula, terdapat penurunan di mana hanya seramai 21 mangsa yang masih berada di dua PPS.

Menurut laporan itu lagi, trend semasa banjir di negeri ini meningkat berikutan pertambahan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan mangsa banjir di Sabah terus meningkat dengan jumlah penduduk yang dipindah ke PPS ialah seramai 6,843 mangsa.