Amanah kesal Sanusi masih mainkan isu perkauman

Muhammad Sanusi (kiri), Ismail (kanan).
Muhammad Sanusi (kiri), Ismail (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa cuba meracuni pemikiran rakyat dengan memberi gambaran kononnya terdapat agenda di sebalik rancangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membawa konsep pembangunan perumahan dari Singapura.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh kesal kerana Muhammad Sanusi berterusan memainkan isu perkauman, namun percaya rakyat negara ini juga tidak menyenangi pendekatan politik perkauman yang dibawa oleh Pas.

Menurutnya, cubaan Muhammad Sanusi untuk mencemarkan imej KPKT termasuk Menteri KPKT, Nga Kor Ming diyakini tidak akan diterima baik oleh rakyat negara ini.

“Kami kesal Muhammad Sanusi nampaknya belum ‘move on’, malah berterusan memainkan isu perkauman dalam ucapan-ucapannya.

“Muhammad Sanusi cuba meracuni pemikiran orang Melayu kononnya Menteri KPKT mahu bawa agenda pilihan raya kerajaan tempatan dari Singapura apabila mahu tiru pembangunan perumahan negara jiran itu,” katanya di sini pada Jumaat.

Terbaharu, tular di media sosial ucapan Muhammad Sanusi yang dipetik berkata, Menteri KPKT, Nga Kor Ming mempunyai agenda tersembunyi apabila mahu membawa konsep pembangunan perumahan dari Singapura.

Muhammad Sanusi mendakwa objektif utama DAP melalui KPKT adalah untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan yang akan mengakibatkan monopoli penyertaan dan perwakilan oleh satu kumpulan kaum, khususnya di bandar-bandar utama.

Dakwanya lagi, lokasi strategik dalam negara dan negara jiran, bermula dari Johor Bahru, Seremban, Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, Bangkok, Hong Kong dan Taiwan telah ditubuhkan dan dinamakan 'Silk Road’ atau Laluan Sutera Baharu.

Bagaimanapun, beliau tegaskan agenda Laluan Sutera Baharu telah dihentikan di Kedah dan Perlis yang diperintah Pas.

“Perdana Menteri tak sedarkah tentang ini? Bertentangan dengan matlamat masyarakat Madani. Tak usah undi BN/UMNO, satu undi kepada BN/UMNO, sama dengan satu undi kepada PH, satu undi kepada DAP,” antara petikan ucapan Muhammad Sanusi dalam perhimpunan di Sik minggu lalu.

Dalam pada itu, Ismail berkata, beberapa isu dibangkitkan Muhammad Sanusi tidak menyenangkan ramai pihak apabila beliau didakwa cuba meracuni pemikiran orang Melayu bahawa KPKT sedang melaksanakan agenda Laluan Sutera Baharu dari China.

“Yang kita mahukan perumahan baik untuk rakyat tak boleh, kononnya sokong projek 'Silk Road' China, yang beliau lantik syarikat dari China boleh pula. Terbaharu menandatangani MoU dengan syarikat dari China, Xiamen Tungsten Co Ltd untuk projek perlombongan nadir bumi (REE) di Sik,” soalnya.

Tambahnya lagi, merujuk konsep pembangunan perumahan yang dilaksanakan Housing Development Board (HDB) Singapura adalah tindakan yang baik bagi meningkatkan kualiti perumahan dalam negara.

“Semua tahu kualiti perumahan rakyat yang dibuat oleh Singapura melalui HDB sangat tinggi berbanding Malaysia. Apa salahnya kita belajar kebaikan dari Singapura. Rasulullah SAW ada mengatakan ‘tuntutlah ilmu walaupun ke negara China’.

“Tak kan pula kerana kita nak tiru perumahan di Singapura, kita bawa semua perkara dari negara jiran itu. Ini pemikiran cetek dan berniat jahat yang sengaja mengapi-apikan isu perkauman negatif semata-mata untuk jaga kepentingan politik Pas,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor itu menegaskan bahawa Muhammad Sanusi dan Pas masih tidak menerima hakikat pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan memberi gambaran yang salah.

“Sebab itulah saya kata mereka belum ‘move on’. Tuanku Sultan Kedah titah agar berbuat baik dengan kerajaan Pusat untuk kepentingan rakyat, namun Muhammad Sanusi masih memainkan isu perkauman.

“Sekiranya dakwaan beliau benar, tak apa juga, tetapi ia hanya khayalan Muhammad Sanusi semata-mata,” katanya.