Dua ahli perniagaan didakwa subahat lupus wang lebih RM10 juta

Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan bersubahat dengan seorang lelaki sehingga menyebabkan seorang wanita melupuskan wang dua buah syarikat berjumlah lebih RM10.6 juta.
Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan bersubahat dengan seorang lelaki sehingga menyebabkan seorang wanita melupuskan wang dua buah syarikat berjumlah lebih RM10.6 juta.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan bersubahat dengan seorang lelaki sehingga menyebabkan seorang wanita melupuskan wang dua buah syarikat berjumlah lebih RM10.6 juta.

Lim Ah Hock, 71, didakwa atas satu pertuduhan manakala Lim Pay Chuan, 53, menghadapi tiga pertuduhan.

Mereka didakwa dengan curang telah bersubahat dengan seorang pengurus besar syarikat pembinaan, G. Paismanathan, 52, menyebabkan seorang wanita melupuskan wang milik dua syarikat bagi pembayaran kepada satu syarikat lain berjumlah lebih RM10.6 juta membabitkan beberapa kerja yang diketahui tertuduh tidak wujud.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pestech Technology Sdn Bhd, di Ara Damansara, dekat sini antara 16 November 2017 dan 5 Januari 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 403 Kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan maksimum lima tahun serta dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Muaz Ahmad Khairuddin memohon Ah Hock dan Pay Chuan masing-masing dikenakan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili kedua-dua tertuduh tidak membantah jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan tetapi memohon agar pasport kedua-dua anak guamnya tidak ditahan di mahkamah kerana mereka kerap ke luar negara atas urusan perniagaan dan kesihatan.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan semula kes. - Bernama