Wanita hamil dipujuk sebelum 'diterbangkan' ke hospital

Operasi Medevac bomba membawa dua wanita hamil dari Kampung Orang Asli Punchor, Kahang ke Hospital Kluang pada Jumaat.
Operasi Medevac bomba membawa dua wanita hamil dari Kampung Orang Asli Punchor, Kahang ke Hospital Kluang pada Jumaat.
A
A
A

KLUANG - Seorang wanita hamil 32 minggu terpaksa dipujuk hampir setengah jam sebelum berjaya dibawa ke Hospital Kluang dengan penerbangan ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pemangku Pengarah JBPM Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang berkata, mangsa dikenali Sofia Semanggar, 32, dari Kampung Orang Asli Punchor, Kahang mempunyai sejarah bayi pramatang dan perlu dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan kandungan.

Menurut beliau, seorang lagi wanita dikenali Sandora Anam, 39, yang hamil 29 minggu dari kampung yang sama turut dibawa menaiki penerbangan tersebut ke hospital.

"Operasi khidmat khas Medical Evacuation (Medevac) itu diketuai oleh Penguasa Bomba, Mohd Faridullahamin Mohd Noh.

"Sewaktu tiba berhampiran ladang tembikai Kampung Orang Asli Punchor, Kahang dimaklumkan Sofia tidak mahu menerima rawatan ke hospital akibat takut.

"Namun pihak bomba dan ahli keluarga berjaya memujuk Sofia hampir setengah jam. Sofia mempunyai sejarah bayi pramatang dan perlu dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan kandungan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Mohd Rizal berkata, operasi membabitkan lima kru penerbangan serta dua pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula pada jam 9.58 pagi dan tamat pada jam 11.17 pagi pada Jumaat.

"JBPM Johor dengan bantuan Unit Udara JBPM sentiasa komited bagi membantu melaksanakan operasi khidmat khas melibatkan pesawat dari Unit Udara JBPM sama ada operasi Medevac, penghantaran bekalan makanan dan logistik di kawasan terputus hubungan mahupun operasi Search & Rescue (SAR) di negeri ini," katanya.