Lori terbakar: LUAS kawal tumpahan minyak, elak pencemaran air

Langkah pencegahan dengan meletakkan beg aktif karbon dan pemeriksaan sampel air sebagai langkah pencegahan pencemaran. Pemeriksaan sampel air sebagai langkah pencegahan pencemaran (gambar kanan).
Langkah pencegahan dengan meletakkan beg aktif karbon dan pemeriksaan sampel air sebagai langkah pencegahan pencemaran. Pemeriksaan sampel air sebagai langkah pencegahan pencemaran (gambar kanan).
A
A
A

SEPANG - Tumpahan minyak susulan kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan besi terpakai yang terbakar berdekatan persimpangan Bandar Serenia di sini berjaya dikawal daripada memasuki longkang berhampiran pada Jumaat.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan segera diambil dengan meletakkan satu beg karbon aktif di dalam aliran longkang bagi mengelakkan sisa minyak memasuki saluran berdekatan.

"Pada masa sama, pihak Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) telah menaburkan habuk kayu bagi tujuan kawalan pencemaran di tapak.

"Semakan LUAS mendapati terdapat sedikit tumpahan minyak yang telah memasuki aliran longkang berdekatan, namun tiada risiko henti tugas LRA (Loji Rawatan Air) Bukit Tampoi," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, pemantauan rapi akan terus dilaksanakan di lokasi pencemaran dan bersiap siaga melaksanakan pelan mitigasi segera sekiranya terdapat penemuan saki baki kesan pencemaran daripada lokasi tersebut.