Tangkak daerah terbaharu di Johor dilanda banjir

Keadaan banjir di sekitar Sedili Kota Tinggi.
Keadaan banjir di sekitar Sedili Kota Tinggi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tangkak menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di negeri ini menjadikan mangsa banjir kini seramai 4,868 orang setakat jam 8 pagi, Jumaat.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan, terdapat 50 pusat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan lapan daerah.

"Daerah terjejas akibat banjir ialah Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Muar Batu Pahat dan Tangkak.

"Mersing menjadi daerah terjejas teruk akibat banjir dengan seramai 1,793 penduduk daripada 512 keluarga ditempatkan di 11 PPS yang dibuka di daerah berkenaan.

"Ini diikuti daerah Kluang dengan 1,173 mangsa daripada 321 keluarga; Kota Tinggi (900 mangsa daripada 224 keluarga); Segamat (490 mangsa daripada 138 keluarga) dan Batu Pahat (358 mangsa daripada 100 keluarga)

"Seterusnya Muar (121 mangsa daripada 29 keluarga), Pontian (18 mangsa daripada empat keluarga) dan Tangkak (15 mangsa daripada tiga keluarga)," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia masih meletakkan enam daerah di negeri ini di bawah amaran hujan berterusan tahap waspada iaitu Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

"Empat sungai di negeri ini masih diletakkan dalam kategori bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Sungai Kahang di Kampung Contoh dan Sungai Lenik di Ladang Chaah dan Sungai Endau.

"Dalam pada itu, empat jalan telah ditutup sementara akibat dinaiki air iaitu Jalan Jemaluang-Batu Pahat; Jalan Felda Moakil; Jalan Jabi-Bukit Tempurang dan Jalan Tanah Abang dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai akibat tanah runtuh," jelasnya.