Lima pengamal perubatan tradisional terlepas hukuman mati

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai lima pengamal perubatan tradisional termasuk dua wanita, terlepas daripada hukuman gantung sampai mati, selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis melepas dan membebaskan mereka atas tuduhan membunuh seorang lelaki, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Nurulhuda Nur’Aini Mohd Nor memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan, terhadap kelima-lima tertuduh.

Mereka ialah Mohd Zamre Abdul Rahim, 41; Mohd Nazri Abu Hasan, 39; Lizawati Zolkapli, 41; Hidayuwahida Mohhai, 39 dan Ahmad Amzar Mohammed Nashan, 40.

Mengikut pertuduhan, mereka dituduh bersama-sama membunuh pesakit, Mohd Afril Syah Wadood, 35, di sebuah rumah di Taman Puchong Intan, Puchong, di sini antara jam 4 hingga 8 pagi, 26 April 2018 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ahli keluarga si mati iaitu kakaknya telah memanggil pengamal perubatan untuk merawat penyakit adiknya itu.

Rawatan dijalankan bermula 23 sehingga 26 April 2018 dengan peringkat permulaan melibatkan bacaan ayat al-Quran, zikir dan memandikan si mati di luar rumah.

Kelima-lima tertuduh telah datang berulang kali ke rumah kakak si mati dan menjalankan rawatan kerana belum pulih, namun pada hari terakhir jam 3 pagi, kesemua tertuduh telah menjalankan rawatan sehingga menyebabkannya lemah lalu disahkan meninggal dunia.

Menurut pasukan pendakwaan, mangsa telah menjalani rawatan dengan dikatakan dipijak di bahagian perut, sehingga lebam.

Pasukan pembelaan sebaliknya menghujahkan bahawa anak guam mereka merawat dengan cara sentuhan sahaja.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim manakala tertuduh diwakili peguam, Ainur Azalia Ayoub, Azimul Azami dan Rezal Mazli.