Serik dipukul suami, wanita nekad larikan diri

Mohd Fared berbincang dengan Suria berkenaan bantuan MAINJ di rumah majikannya pada Khamis.
Mohd Fared berbincang dengan Suria berkenaan bantuan MAINJ di rumah majikannya pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Derita yang tidak berkesudahan. Itu yang dialami Suria, 35, (bukan nama sebenar) selepas kira-kira setahun hidup bersama suami keduanya itu yang merupakan seorang mualaf.

Suria mendakwa sudah lali dipukul dengan teruk terutama selepas suaminya itu yang berasal dari Sarawak kalah judi.

Menurut ibu kepada empat anak hasil perkahwinan terdahulu mengakui, sudah patah hati dan tidak sanggup lagi hidup bersama dengan suaminya.

"Sebelum kahwin, dia ada terjebak dengan dadah namun sudah berubah selepas kami berkahwin. Masalahnya, selepas berkahwin dia kerap mabuk dan bermain judi, saya akan menjadi mangsa jika dia kalah judi," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Exco Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid bersama pegawai Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di rumah majikannya pada Khamis.

Suria yang bekerja di sebuah kantin sekolah berkata, disebabkan tidak tahan lagi bersama suaminya dia melarikan diri dan menyembunyikan diri di sebuah kolong pada Isnin.

Dia yang berasal dari Kelantan kemudian mengadu nasibnya kepada majikan sebelum dibawa ke rumah majikannya bersama dua anaknya untuk diberi perlindungan sementara.

Katanya, sebelum ini mereka selalu berpindah-randah di sekitar kawasan rumah kedai berhampiran Masai, namun dihalau tuan rumah kerana mengganggu ketenteraman jiran disebabkan bertengkar hampir setiap hari.

"Disebabkan sudah tidak mampu lagi untuk membayar deposit dan sewa di tempat baharu, saya mengambil keputusan untuk tinggal di flat terbiar yang dipenuhi sampah bersama dua anak perempuan sejak awal bulan ini.

"Walaupun rumah flat itu dipenuhi sampah sarap dan tiada air dan elektrik, saya tidak ada pilihan lain. Pada waktu pagi, saya akan membawa anak-anak bersama ke sekolah di mana saya bekerja sebagai pembantu kantin," katanya.

Jelasnya, dua anak perempuannya itu yang berusia tujuh dan 10 tahun tinggal bersamanya, manakala manakala dua lagi orang anaknya berusia 12 dan 16 tahun tinggal bersama adiknya di Klang, Selangor.

Dia pernah membuat laporan polis terhadap perbuatan suaminya itu, namun terpaksa menarik balik laporan kerana tidak mempunyai dokumen susulan bernikah di Thailand dan tidak didaftarkan di negara ini.

Sementara itu, Mohd Fared berkata, MAINJ akan mengusahakan bantuan tempat tinggal kepada Suria dan dua anaknya selain memberikan bantuan wang tunai.

"Sudah menjadi tanggungjawab MAINJ membantu golongan memerlukan seperti ini. Harap ini menjadi iktibar kepada semua, perlunya masyarakat mengikut lunas perundangan kekeluargaan Islam (mendaftar pernikahan dalam negara) supaya dapat dibantu di kemudian hari," katanya.