Pekerja kedai karpet dicekup Imigresen

Antara PATI yang ditahan dalam operasi imigresen di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menggempur premis menjual karpet yang dipercayai menggajikan pekerja asing di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, semalam.

Pengarahnya, Hamidi Adam berkata, Ops Niaga itu dijalankan kira-kira jam 2 petang dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurutnya, tujuh premis diserbu dan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan hasil pemeriksaan terhadap 40 individu.

Antara PATI yang ditahan dalam operasi imigresen di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Antara PATI yang ditahan dalam operasi imigresen di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

"Tangkapan melibatkan lapan lelaki dan lima wanita berusia lingkungan 25 hingga 40-an membabitkan empat warga India, Indonesia (5 orang), Bangladesh (2 orang), Pakistan dan Myanmar masing-masing seorang," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua PATI ini adalah pekerja pelayan di premis menjual karpet berkenaan.

Katanya, pihaknya terpaksa menyamar sebagai pelanggan untuk mengenal pasti warga asing yang bekerja secara tidak sah di premis terbabit.

"Operasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan tidak ada lagi lambakan PATI di dalam negara, khususnya di ibu negara," katanya.