1,120 pekerja asing tidak bekerja akan diberi majikan baharu

Saifuddin pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing pada Selasa. - Foto: Bernama
Saifuddin pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing pada Selasa. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 1,120 pekerja asing yang telah dibawa masuk ke negara ini menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing didapati tidak bekerja, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan melaksanakan inisiatif untuk menempatkan pekerja terbabit dengan majikan baharu bagi menjaga aspek kebajikan mereka.

Menyifatkan ia sebagai isu lambakan pekerja asing, Saifuddin berkata, kebanyakan pekerja asing terlibat adalah dari Bangladesh dan dibawa masuk untuk bekerja dalam sektor pembersihan dan pencucian.

Beliau berkata, agensi pengambilan pekerja asing atau majikan yang membawa masuk mereka telah dikenal pasti dan tindakan akan diambil terhadap syarikat berkenaan termasuk disenarai hitam.

"Kita tahu siapa ejen dan majikan yang melakukan perkara itu," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kelapan pada Selasa.

Menurutnya, lebih 400,000 pekerja asing sudah dibawa masuk ke Malaysia menerusi program rekalibrasi dan pelan kelonggaran itu, namun kira-kira 100,000 pekerja asing lagi diperlukan untuk mengisi pekerjaan di lima sektor kritikal iaitu pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) turut mengesan majikan atau agensi pengambilan pekerja asing yang memohon kuota pekerja asing menerusi pelan tersebut namun masih mengiklankan jawatan kosong terutamanya di media sosial.

Beliau berkata, perkara itu akan menyumbang kepada lambakan pekerja asing di negara ini selain memberi kesan kepada kedudukan negara dalam senarai Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang (US TIP Report).

"Ini kerana kita tidak boleh hantar mereka balik kerana kedudukan rating akan terkesan... jadi kena perbetulkan.

"Kita baharu sahaja memasuki Tier 2. Dalam tempoh 1 April tahun ini sehingga Mac depan kita akan diperhatikan apakah kita berjaya patuh terhadap beberapa perkara termasuklah membanteras elemen buruh paksa,” katanya.

Laporan TIP yang dikeluarkan pada 15 Jun lepas menunjukkan kedudukan Malaysia naik daripada Tahap 3 ke Tahap 2 Pemerhatian dan Saifuddin dilaporkan berkata kerajaan akan meningkatkan usaha mendakwa dan menyabitkan kes terhadap penjawat awam yang didapati bersubahat dalam aktiviti pemerdagangan orang atau buruh paksa. - Bernama