Tiada keperluan naikkan had siling hutang negara - Ahmad Maslan

Ahmad (gambar kecil) memberitahu tiada keperluan untuk menaikkan had siling hutang negara kepada lebih 65 peratus daripada KDNK.
Ahmad (gambar kecil) memberitahu tiada keperluan untuk menaikkan had siling hutang negara kepada lebih 65 peratus daripada KDNK.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiada keperluan untuk menaikkan had siling hutang negara kepada lebih 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkat,a kerajaan telah menaikkan had siling sebanyak dua kali daripada 55 peratus kepada 60 peratus daripada KDNK ketika pandemik Covid-19 dan kemudiannya kepada 65 peratus sehingga setakat kini.

"Hutang kerajaan adalah sebanyak RM1.5 trilion dan jumlah ini termasuk dengan kontigen liabiliti. Tetapi jika dilihat sebenarnya hutang sebenar kerajaan adalah RM1.2 trilion dan jumlah ini lebih kurang 61 peratus daripada had siling.

"Kita telah meluluskan sehingga 65 peratus had siling hutang daripada KDNK bermaksud ada (lebih kurang) 40 peratus lagi," kata Ahmad.

Beliau kepada demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) dan Uniti Asia Group of Business di sini hari ini.

MoU tersebut adalah bertujuan untuk membantu perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) mengembangkan peluang perniagaan ke rantau Asia Tenggara termasuk Patani, Thailand terutamanya bagi pasaran halal dan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan serta memberi maklumat dari segi pemasaran.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, kebajikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PMKS akan diberikan tumpuan utama dalam Belanjawan 2023 kerana mereka merupakan penggerak kepada ekonomi negara.

"Perkara ini adalah seperti apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu PKMS dan PKS, dan kita akan meneruskan tradisi kumpulan fokus untuk kita dapatkan pandangan daripada pertubuhan, syarikat dan agensi kementerian yang terlibat melalui beberapa siri dialog belanjawan," katanya.

Menurutnya, bermula hari ini sehingga 10 Februari, beliau akan mempengerusikan 18 dialog belanjawan yang merangkumi pelbagai tajuk antaranya pembangunan belia, sekuriti makananan, pembangunan inklusif luar bandar, agenda bumiputera dan kumpulan komuniti lain.

"Daripada dialog ini, pegawai bahagian belanjawan akan merumuskan segala pandangan dan akan dimasukkan ke dalam Belanjawan 2023," katanya.