Amanah serah memorandum, mahu 'pemikiran Abdul Hadi' disiasat

Mohd Sany (tiga dari kiri) dan Azli (tiga dari kanan) menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Sultan Selangor ketika ditemui di luar pekarangan Istana Alam Shah.
Mohd Sany (tiga dari kiri) dan Azli (tiga dari kanan) menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Sultan Selangor ketika ditemui di luar pekarangan Istana Alam Shah.
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Biro Mobilisasi Parti Amanah Negara (Amanah) menyerahkan memorandum memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam agar menyiasat dakwaan fahaman serta pemikiran melampau Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Memorandum itu diserahkan oleh Pengarah Biro Mobilasi Amanah, Mohd Sany Hamzan dan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof kepada Timbalan Dato Pengelola Bijara Diraja Kepada Sultan Selangor, Fahrin Asmawi di Istana Alam Shah, di sini pada Khamis.

Mohd Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, bagaimana Abdul Hadi dalam ucapannya dengan mudah menggelar parti selain mereka adalah pasukan ahzab yang majoritinya jika dilihat adalah terdiri daripada parti dan kumpulan dianggotai Muslim.

"Abdul Hadi juga dilihat cuba mempertikai rukun negara, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang apabila mendakwa penubuhan kerajaan pasca pilihan raya adalah di luar tabii demokrasi sebenar bersama penipuan yang nyata dengan mengumpulkan semua kumpulan penipu, penyangak dan oportunis" katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Istana Alam Shah, Klang.

Tegasnya, Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas pasca pilihan raya adalah dengan perkenan Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan selari dengan undang-undang serta Perlembagaan serta diterima masyarakat umum selain mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Kerajaan Perpaduan sebelum ini dicabar keabsahan Perdana Menterinya dan kerajaan hari ini, tetapi telah berjaya dibuktikan sokongannya di Parlimen yang Abdul Hadi sendiri ada dan terlibat dalam pengundian itu.

"Dalam sikap berterusan seolah-olah cubaan mempertikai keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara, lupakan Abdul Hadi kerajaan 'tebuk atap' yang beliau jayakan sebelum ini sebenarnya di luar tabii demokrasi," kata Mohd Sany.

Sehubungan itu, Mohd Sany memohon agar Sultan Selangor dapat menyiasat dakwaan dimainkan Abdul Hadi dari terus berleluasa dan dibimbangi akan mengotori minda dan rakyat di negara ini.