67 polis Johor terlibat jenayah dikenakan tindakan

Kamarul Zaman (tengah) bersama petugas dan anjing dari Unit K9 IPK Johor yang menerima pingat penghargaan pada Majlis Perhimpunan Bulanan di IPK Johor, Johor Bahru, pada Khamis.
Kamarul Zaman (tengah) bersama petugas dan anjing dari Unit K9 IPK Johor yang menerima pingat penghargaan pada Majlis Perhimpunan Bulanan di IPK Johor, Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 67 anggota polis di negeri ini dikenakan tindakan tahan kerja atas pelbagai kesalahan jenayah sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberitahu, daripada jumlah itu lapan telah dibuang kerja atas kes dadah, membuat salah laku, rasuah dan juga jenayah.

"Tujuh lagi dikenakan tindakan gantung kerja. Tidak dinafikan masih ada anggota yang tidak mematuhi disiplin dan kurang berintegriti, sehubungan itu menjadi tanggungjawab semua peringkat dan menyelia sehelai mereka yang tersasar daripada landasan pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Khamis. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis, M Kumar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Johor telah membuka 205 kertas siasatan atas pelbagai bentuk kesalahan.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor katanya, turut berjaya mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) dengan merekodkan 56.84 peratus kadar penyelesaian kes dan 55.17 peratus kadar pertuduhan kes daripada keseluruhan 4,461 kes.

"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) pula telah berjaya menyelesaikan sebanyak 1,450 kes, iaitu 50 peratus daripada keseluruhan 2,921 kes disiasat.

"Bagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pula, polis Johor telah menahan seramai 14,655 suspek atas pelbagai kesalahan dadah, dengan membuat rampasan 4.3 tan dadah bernilai RM14.6 juta," katanya.

JSJN juga ujar beliau, telah menyelesaikan sebanyak 83.44 peratus kes, melebihi KPI ditetapkan iaitu 70 peratus kes.

Sementara itu, seekor anjing dari Unit K9 Ibu IPK Johor dianugerahkan Pingat Penghargaan Ketua Polis Johor atas kejayaan mengesan peranti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dibawa lari penjenayah di Kulai, tahun lalu.

Jinuo, 12, yang merupakan seekor anjing baka German Shepherd menteri pingat itu daripada Kamarul Zaman yang dikalungkan Kumar.

Sarjan Donny Henry yang merupakan pengendali Jinuo memberitahu, anjing seberat 35 kilogram yang baharu bersara itu telah membantu menyelesaikan banyak kes sepanjang tempoh perkhidmatan dengan polis.

"Jinuo diberi pingat atas kejayaannya membantu menyelesaikan kes samun mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, iaitu ketika diberi tugas mencari barang kes bagi kes samun di Kulai, tahun lalu.

"Ketika itu, penyamun telah mencabut peralatan CCTV (kamera litar tertutup) dan membawanya lari sebelum dicampakkan ke satu lokasi, jadi kita gunakan Jinuo untuk mencari barang kes itu, peranti itu berjaya ditemui sekali gus berjaya membantu selesaikan siasatan," katanya.

Tambah Donny, anjing tersebut telah berkhidmat dengan Polis Kontinjen Johor sejak 2012 dan sepanjang perkhidmatannya itu, anjing terbabit sudah membantu siasatan banyak kes jenayah.

Selain Jinuo, seekor lagi anjing Unit K9 dari baka Belgium Sherperd yang diberi nama Ma'te, 9, turut dianugerahkan Pingat Penghargaan Ketua Polis Johor.

Ma'te diberikan pingat penghargaan itu atas kejayaannya mengesan lokasi pembakaran pakaian suspek dan satu kes pembunuhan di negeri ini, tahun lalu.

Sementara itu, dua lagi anjing Unit K9 IPK Johor iaitu Mailo dan Julius pula menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Johor pada majlis yang sama.