9,071 individu layak terima zakat bulanan: MUIP

Asmadi ketika berucap dalam Kelas Bimbingan al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Rumah Ngaji Persatuan Insaf Pahang pada Khamis.
Asmadi ketika berucap dalam Kelas Bimbingan al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Rumah Ngaji Persatuan Insaf Pahang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 9,071 individu disahkan layak menerima bantuan zakat secara bulanan yang disalurkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, individu yang disenaraikan sebagai penerima selepas dinilai berdasarkan had kifayah oleh pegawai penilai MUIP.

"Bagi tujuan itu (agihan bantuan zakat) kita (MUIP) memperuntukkan hampir RM42.8 juta setahun.

"Jadi penerima yang layak akan menerima bantuan antara RM200 hingga RM800 sebulan. Agihan nilai bantuan berikan mengikut had kifayah yang ditetapkan pegawai penilai kita," katanya pada Khamis.

Selain itu, Asmadi memaklumkan program bantuan kesihatan kepada asnaf pula membabitkan perbelanjaan sebanyak RM6.8 juta diberikan kepada 1,652 penerima.

Jelasnya, ia melibatkan kos rawatan termasuk menyediakan peralatan antaranya seperti kerusi roda, katil, alat bantuan pernafasan dan anggota palsu.

"Peruntukan sebanyak RM20.9 juta diberikan bagi tujuan pembangunan masjid dan surau yang membabitkan pelbagai aktiviti seperti menaik taraf dan menambah kemudahan diperlukan.

"Semakin banyak bayaran zakat diterima setiap tahun, lebih banyak bantuan kepada 48 jenis agihan bantuan zakat kepada golongan asnaf dapat dilakukan oleh MUIP setiap tahun," jelas beliau lagi.

Asmadi menambah, setiap tahun MUIP berusaha menambah bantuan dalam sektor pendidikan.

Katanya, sebagai contoh tahun lalu sebanyak RM30.8 juta diberikan kepada sektor pendidikan yang merupakan asnaf fisabilillah membabitkan beberapa skim bantuan.

"Pada minggu lalu, MUIP mengagihkan bantuan zakat kepada 45 institusi pendidikan di negeri ini bernilai RM3.7 juta.

"Ia diberikan kepada 18 sekolah menengah agama negeri, 23 sekolah rendah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan, masing-masing satu institusi pengajian tinggi (IPT), jabatan kerajaan dan persatuan guru," ujarnya.