Hospital Kampar baharu tak ganggu perkhidmatan Hospital UTAR

Boon Chye (dua dari kiri) berbual dengan salah seorang pesakit ketika melawat Hospital Kampar.
Boon Chye (dua dari kiri) berbual dengan salah seorang pesakit ketika melawat Hospital Kampar.
A
A
A

KAMPAR - Pembinaan hospital baharu menggantikan Hospital Kampar sedia ada tidak akan mengganggu perkhidmatan yang bakal disediakan Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, perkhidmatan yang bakal disediakan kedua-dua hospital tersebut kelak adalah berlainan terutama dari segi penyediaan pakar.

"Pembinaan Hospital Kampar baharu pernah diluluskan kerajaan dahulu dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) tetapi ia dibatalkan kerana UTAR diberi kelulusan untuk membina sebuah hospital.

"UTAR juga sudah lakukan majlis pecah tanah dan pembinaannya telah bermula," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas hadir melawat Hospital Kampar, di sini, hari ini.

Menurut Boon Chye Hospital UTAR bakal menyediakan perkhidmatan pakar serta menjadi hospital pengajar kepada pelajarnya, manakala Hospital Kampar menyediakan perkhidmatan biasa.

"Hospital Kampar baharu adalah hospital tanpa pakar manakala Hospital UTAR hospital pakar, jadi ia akan memberikan perkhidmatan kepada segmen pesakit berlainan.

"Di kementerian kita rasa ada keperluan untuk bangunkan hospital baharu sebagai hospital gantian bagi Hospital Kampar sekarang," katanya.

Dalam pada itu, Boon Chye berkata, pihaknya sudah memilih satu daripada empat lokasi yang dicadangkan sebelum ini bagi pembinaan Hospital Kampar baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.sinarharian.com.my/article/17490/EDISI/Perak/Lokasi-bina-Hospital-Kampar-baharu-dikenal-pasti

Artikel Berkaitan:

"Dari segi lokasi tapak berkenaan sesuai kerana tanahnya tidak ada air dan tak da kolam cuma ada sedikit masalah dalam pengambilan tanah kerana sebahagiannya adalah tanah milik swasta," katanya.

Menurutnya, tapak yang dicadangkan berkenaan terletak kira-kira 10 kilometer dari Hospital Kampar sedia ada dan pembinaan hospital berkenaan bakal menelan belanja RM120 juta dengan 90 katil.