KPKM kekalkan formula pembahagian subsidi ayam sedia ada

Mohamad (dua dari kiri) melayan tetamu pada majlis perhimpunan dan ramah mesra bersama warga kementerian itu sempena Aidilfitri 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini. Foto Bernama
Mohamad (dua dari kiri) melayan tetamu pada majlis perhimpunan dan ramah mesra bersama warga kementerian itu sempena Aidilfitri 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan meneruskan formula pembahagian subsidi sedia ada kepada penternak ayam daging dan syarikat pembekal pada nisbah 10 sen dan 70 sen, ketika terdapat permintaan daripada penternak ayam di Selangor yang mahu pembahagian subsidi kerajaan dibuat sama rata antara mereka.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penternak ayam dan syarikat pembekal perlu berbincang antara mereka mengenai agihan subsidi 80 sen yang diberikan kerajaan bagi mengatasi kenaikan kos pengeluaran ayam dan telur kerana kerajaan tidak campur tangan dalam rundingan perjanjian pembahagian subsidi itu.

"Kita masih lagi berpegang dengan apa yang dilaksanakan sebelum ini sejak setahun lebih, kita berpegang kepada 10 sen (bagi penternak) dan 70 sen (bagi syarikat pembekal).

"Pada padangan kementerian, urusan itu adalah business-to-business, ertinya antara syarikat pembekal dan penternak. Semasa mereka berurusan, kerajaan tidak terlibat jadi sepatutnya itu persetujuan antara mereka," katanya kepada media pada majlis ramah mesra menteri bersama warga KPKM, di sini hari ini.

"Perlu ada rundingan antara syarikat pembekal dan penternak untuk dapat perkongsian keuntungan yang betul atau pun perkongsian subsidi yang betul, tetapi setakat ini kementerian berpandangan kadar sedia ada kita akan kekalkan dahulu," tambah Mohamad.

Laporan yang disiarkan media tempatan menyatakan Persatuan Penternak Ayam Selangor mahu kerajaan mempertimbangkan pembahagian subsidi kepada penternak ayam daging dan syarikat pembekal dengan nisbah 50:50 kerana mendakwa ada penternak ayam yang gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos operasi yang semakin meningkat.

Pengerusi persatuan itu, Muzamri Shoib dilaporkan berkata, dalam penternakan ayam daging, penternak paling berisiko tinggi kerana hanya mendapat untung melalui jualan ayam hidup, sedangkan syarikat pembekal lebih awal mendapat untung daripada hasil jualan makanan ayam, anak ayam, ubat-ubatan dan jualan ayam.

Pada 27 Februari lepas, kerajaan memutuskan untuk meneruskan penyediaan subsidi pada kadar 80 sen sekilogram bagi ayam dan lapan sen sebjii bagi telur sehingga Jun 2023 melibatkan kos sebanyak RM1.28 bilion. - Bernama