Segamat paling teruk terjejas banjir

Anggota APM Johor membantu mangsa banjir untuk dipindahkan ke PPS.
Anggota APM Johor membantu mangsa banjir untuk dipindahkan ke PPS.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 3,967 orang melibatkan 1,104 keluarga di 41 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah setakat jam 12 tengah hari Rabu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 2,912 penduduk daripada 833 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS pada jam 12 tengah malam Selasa.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, enam daerah terjejas akibat banjir adalah Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Muar dan Batu Pahat.

"Segamat menjadi daerah terjejas teruk akibat banjir dengan seramai 1,417 penduduk daripada 399 keluarga terjejas akibat banjir yang ditempatkan di 13 buah PPS dibuka di daerah berkenaan.

"Ini diikuti dengan daerah Kluang iaitu seramai 1,191 mangsa melibatkan 341 keluarga di 11 PPS manakala seramai 640 penduduk daripada 194 keluarga ditempatkan di empat PPS di Mersing.

"Sementara itu, mangsa banjir di Kota Tinggi meningkat kepada 568 penduduk daripada 138 keluarga di 11 PPS manakala di Batu Pahat pula seramai 151 penduduk melibatkan 32 keluarga dipindahkan di dua PPS," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Azmi berkata, lapan PPS dibuka pada Rabu melibatkan tiga PPS di Segamat, Mersing (1) dan Batu Pahat (2).

Katanya, dua PPS dibuka di Muar iaitu di Dewan Serbaguna Felda Gugusan Maokil dan Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Felda Maokil 2 sebagai persediaan awal bagi menempatkan mangsa banjir ekoran keadaan banjir yang melanda kawasan itu.

"Tiga PPS yang dibuka di Segamat pada hari ini melibatkan Balai Raya Jalan Pemuda, Balairaya Kampung Tungku Tiga dan Balai Islam Kampung Gubah yang menempatkan 20 penduduk Kampung Tengah, Kampung Tungku Tiga dan Kampung Gubah.

"Dewan Orang Ramai Kampung Parit Haji Kamisan dan SK Sepakat Jaya di Batu Pahat menempatkan seramai 151 penduduk Kampung Parit Haji Kamisan manakala SK Air Papan di Mersing menempatkan 109 penduduk Kampung Air Papan Tengah," ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia masih meletakkan sebahagian besar negeri ini di bawah amaran hujan berterusan iaitu bahaya khususnya di daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

"Tiga sungai di negeri ini masih diletakkan dikategori bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas dan Sungai Segamat di Segamat kecil serta Sungai Kahang di Kampung Contoh.

"Dalam pada itu, empat jalan telah ditutup sementara akibat dinaiki air iaitu Jalan Ladang Siang di Kota Tinggi; Jalan Senai-Gemas dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat serta Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai akibat tanah runtuh," jelasnya.