Pemilik syarikat didakwa kemuka dokumen palsu tuntut Penjana 2.0

Stephen (depan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu atas pertuduhan membuat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso.
Stephen (depan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu atas pertuduhan membuat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemilik syarikat didakwa di Mahkamah Seksyen di sini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah lebih RM250,000 dua tahun lalu.

Tertuduh, R Stephen, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim V M Mabelsheela.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh telah memberikan suatu dokumen iaitu borang pengesahan pekerja program insentif pengambilan pekerja atas nama syarikat miliknya di bahagian perkhidmatan, Perkeso Johor Bahru pada 3 dan 6 Mei, pada 2021.

Berdasarkan fakta kes, dokumen tersebut dihantar bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso berjumlah RM143,122 kepada ejen pertubuhan berkenaan.

Tertuduh didapati cuba memperdaya prinsipal dua Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso Negeri Johor untuk mempercayai dokumen tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, dokumen itu mengandungi pernyataan palsu nama pekerja baharu sedangkan 12 penama dalam permohonan Insentif pengambilan pekerja dalam dokumen tersebut bukan pekerja syarikat milik tertuduh.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh membuat tuntutan palsu bernilai RM109,864 bagi Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso pada 7 Jun 2021.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah tuntutan palsu atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 15 Februari ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh diwakili peguam, Amarpreet Singh Rajwinder Singh.