Bakar al-Quran: Umat Islam diminta turun solidariti Jumaat ini

Tangkap layar kenyataan dimuat naik di Facebook Dewan Ulamak Pas Pusat. (Gambar kanan : Ahmad)
Tangkap layar kenyataan dimuat naik di Facebook Dewan Ulamak Pas Pusat. (Gambar kanan : Ahmad)
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam perlu turun bersolidariti bersama-sama membantah penghinaan terhadap agama Islam di KLCC dan kemudian berarak ke kedutaan Sweden pada Jumaat ini.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahya berkata, sudah tiba masanya umat Islam menyuarakan bantahan keras terhadap kerajaan Sweden susulan tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom, pada Sabtu.

"Saya menyeru umat Islam supaya turun bersolidariti bersama-sama membantah penghinaan terhadap agama Islam pada Jumaat ini di KLCC dan kemudian berarak ke kedutaan Sweden.

"Saya juga ingin menggesa kerajaan supaya mengusulkan suatu mesyuarat tergempar Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bagi membincangkan tindakan susulan yang lebih meluas melibatkan negara-negara Islam lain.

"Setiap ruang diplomatik perlu dioptimum bagi membantah tindakan tersebut dengan tegas," katanya di Facebook rasmi Dewan Ulamak Pas Pusat pada Rabu.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga ingin mengulangi gesaan dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin supaya kerajaan segera memanggil kedutaan Sweden susulan insiden membakar al-Quran tersebut.

"Sungguh ironi insiden sedemikian seolah-olah mendapat restu daripada kerajaan Sweden atas nama kebebasan sedangkan ia merupakan langkah provokatif dan menghina agama Islam," ujarnya.

Tambah beliau, tindakan membakar al-Quran oleh ahli politik berdarah Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bukanlah kali pertama berlaku.

"Tahun lalu tindakan provokasi yang sama telah dilakukan sehingga mendorong kebangkitan daripada umat Islam.

"Paludan menyasarkan bandar-bandar yang didiami oleh umat Islam seperti Linkoping, Malmo dan Stockholm sendiri," jelasnya.

Ahmad menambah lebih mendukacitakan adalah reaksi kerajaan Sweden lebih bimbangkan keganasan yang bakal tercetus selepas insiden tersebut bukan sebaliknya mencegah langkah membakar al-Quran terlebih dahulu.

Justeru, kerajaan sewajarnya menyuarakan amaran tegas itu melalui jalan diplomatik yang ada.

"Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang insiden provokatif apatah lagi menghina kesucian agama Islam," ujarnya.