Sidang media Rafizi dijangka jadi tumpuan

Sidang Media Penerbitan Harga IHP oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini dijangka bakal jadi tumpuan berikutan isu harga barang dan makanan mahal sedang hangat diperdebatkan.
Sidang Media Penerbitan Harga IHP oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini dijangka bakal jadi tumpuan berikutan isu harga barang dan makanan mahal sedang hangat diperdebatkan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sidang Media Penerbitan Harga Indeks Harga Pengguna (IHP) oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli jam 1 tengah hari pada Rabu dijangka bakal menjadi tumpuan berikutan isu harga barang dan makanan yang mahal sedang hangat diperdebatkan.

Meskipun Rafizi sebelum ini menyatakan harga barangan melibatkan bahan mentah mengalami penurunan, namun respons sebaliknya diberikan oleh peniaga.

Ujar mereka, tiada sebarang perubahan harga yang didapati mereka pada barangan itu, ia bahkan semakin meningkat.

Perkara tersebut turut menyebabkan kenaikan harga makanan meningkat sehingga 40 peratus di restoran dan kedai.

Umum mengetahui, antara yang terkesan dengan isu ini pastinya merupakan mereka yang terdiri daripada kalangan golongan berpendapatan rendah (B40).

Ini sebagaimana yang disuarakan oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid yang turut menyatakan kebimbangan terhadap situasi berkenaan.

Menurutnya, aduan yang diterima daripada pengguna mendapati pengusaha gerai dan restoran menaikkan harga pada kadar 10 hingga 40 peratus lebih mahal didakwa berpunca daripada kos bahan mentah yang tinggi daripada pembekal.

"Pengusaha makanan dan minuman memberi alasan mereka terpaksa menaikkan harga kerana harga bahan mentah seperti minyak masak, gula, sayur-sayuran, ikan dan bijirin, telur serta daging yang mereka beli daripada pembekal dinaikkan," katanya.

Justeru, adakah sidang media oleh Rafizi itu nanti mampu merungkai solusi terbaik untuk dimanfaatkan rakyat?

Yang pasti, sama ada peniaga atau pengguna, umum mengharapkan isu kenaikan harga barang yang terlalu ketara ini menemui garis penamat dan penyelesaiannya dibuat dengan kadar segera oleh kerajaan.

Ini selepas cadangan supaya pengguna memboikot mana-mana peniaga barangan keperluan asas ataupun makanan yang menaikkan harga secara mendadak tidak mendapat reaksi positif pelbagai pihak.

Dalam pada itu, isu kewangan rakyat bertambah tenat apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan sebanyak 51.5 peratus atau seramai 6.67 juta pencarum mempunyai baki simpanan persaraan di bawah RM10,000.

Apa yang lebih merisaukan, ia melibatkan sebanyak 76 peratus atau 5.1 juta daripada golongan bumiputera yang mewakili majoriti rakyat Malaysia.

Pada Selasa, Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein, dilapor berkata, untuk kembali ke paras simpanan stabil, ia memerlukan pencarum perlu mengumpulkan simpanan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Namun sehingga kini masih terdapat suara-suara yang mendesak agar pengeluaran dana KWSP dibenarkan sekali lagi, sekurang-kurangnya secara bersasar.

Sejauh mana Kerajaan Perpaduan dapat mempertimbangkannya?

Apa yang pasti kini, kredibiliti pimpinan Kerajaan Perpaduan dalam menyelesaikan kemelut ekonomi kini, sedang teruji.

Jika terdapat solusi memberangsangkan dapat dikemukakan, ia sudah tentu menjadi isyarat positif untuk kepimpinan sama mampu memegang tampuk pentadbiran kerajaan, pada masa yang akan datang.