Penerbangan ihsan bawa bayi Orang Asli sesak nafas

Unit Udara JBPM melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) bagi membawa seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang sesak nafas, batuk dan selesema sejak tiga hari lepas dari Pos Balar di sini mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, pada Isnin. - Foto Bernama
Unit Udara JBPM melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) bagi membawa seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang sesak nafas, batuk dan selesema sejak tiga hari lepas dari Pos Balar di sini mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) bagi membawa seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang sesak nafas, batuk dan selesema sejak tiga hari lepas dari Pos Balar di sini mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, pada Isnin.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, mangsa Herissya Hefly berusia satu tahun tiga bulan yang ditemani ibunya Tijah Enda, 22, berada dalam keadaan stabil sewaktu proses pemindahan dilaksanakan.

"Anak kapal menerima tugasan mengambil pesakit ini semasa melaksanakan operasi menghantar makanan ke pos pedalaman Orang Asli di Pusat Sivik di sini pada 10.26 pagi dengan menggunakan pesawat Agusta Westland 189 (AW189).

"Dua jururawat dari Hospital Gua Musang dibawa bersama ke Pos Balar untuk mengeluarkan pesakit terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Hasrizal berkata, sepanjang operasi itu keadaan cuaca berawan rendah pada ketinggian 2,000 kaki dan penglihatan terhad di sesetengah tempat.

Menurutnya operasi Medevac tersebut membabitkan tiga kru penerbangan yang diketuai Penguasa Kanan Bomba II Wahyudi Mohd Sayuhti.

Bomba hantar 25 tan bekalan makanan kepada Orang Asli

Dalam perkembangan lain JBPM meneruskan misi menghantar 25 tan bekalan makanan ke enam pos Orang Asli di sini bermula Isnin.

Detasmen Komander Operasi Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Penguasa Kanan Bomba II Wahyudi Mohd Sayuhti berkata, operasi diteruskan setelah mengalami kelewatan akibat hujan lebat berterusan di jajahan itu sejak Jumaat lepas.

"Operasi semalam (Isnin) bermula pukul 10 pagi membabitkan dua pesawat iaitu Agusta A109E dan Agusta Westland AW189.

"Sebanyak 5.9 tan makanan berjaya dihantar setakat ini ke Kampung Gawin dan Kampung Gob di Pos Gob, Kampung Jader dan Kampung Ladoi di Pos Simpor serta Kampung Sempadik di Pos Belatim,” katanya kepada pemberita di Padang Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang di sini pada Selasa.

Beliau berkata, penugasan penghantaran bantuan akan diteruskan memandangkan cuaca ketika ini berada dalam keadaan baik.

"Walau apa pun situasi, kami tetap komited dalam melaksanakan tugas kerana ini bukanlah pengalaman kami berdepan situasi sebegini,” katanya dan menambah operasi itu turut melibatkan kerjasama JBPM Gua Musang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).