Dadah: Kawasan Felda, nelayan dan PPR lokasi panas

Mahadzir (dua dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta program. Turut kelihatan, Mohd Azit (kanan) dan Dr Omar (dua dari kanan).
Mahadzir (dua dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta program. Turut kelihatan, Mohd Azit (kanan) dan Dr Omar (dua dari kanan).
A
A
A

JITRA - Kawasan penempatan Felda, nelayan dan projek perumahan rakyat merupakan tiga lokasi tumpuan tinggi dikaitkan dengan gejala dadah yang disenarai pendek oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah AADK Negeri Kedah, Mahadzir Elias berkata, terdapat 178 lokasi panas yang telah dikenal pasti di negara ini dan di Kedah pula terdapat 13 lokasi yang sedang diberi tumpuan penuh oleh pihaknya.

Menurutnya, agensi tersebut memerlukan sokongan penuh komuniti setempat dan juga keluarga bermula dari rumah dalam memerangi gejala najis dadah dalam usaha untuk menurunkan peratusan penagih baharu terutamanya pelajar sekolah.

"Pada 2017, AADK Kedah telah memeriksa urin 3,185 pelajar sekolah dari seluruh negeri ini dan mendapati 238 pelajar telah positif dadah dan jumlah itu menurun pada 2018 apabila 190 pelajar didapati positif hasil saringan yang dilakukan ke atas 3,246 pelajar.

"Gejala dadah di Kedah terutamanya di kalangan pelajar sekolah sebenarnya masih terkawal namun kita tidak boleh selesa kerana masih ada kes baharu pada setiap tahun.

Sebahagian kaunselor sekolah dari seluruh Kedah yang menyertai program Great Teacher Organization (GTO) Peringkat Negeri Kedah 2019 di IPG Darul Aman, Jitra.
Sebahagian kaunselor sekolah dari seluruh Kedah yang menyertai program Great Teacher Organization (GTO) Peringkat Negeri Kedah 2019 di IPG Darul Aman, Jitra.

"Mengikut data yang dikeluarkan AADK Kebangsaan pada 2017, setiap satu jam terdapat dua penagih dadah baharu di negara ini dan perkara ini perlu dipandang serius," katanya Kepada Sinar Harian selepas Majlis Penutup Seminar Great Teacher Organization (GTO) Peringkat Negeri Kedah 2019 di IPG Darul Aman, dekat sini.

Mahadzir berkata, masalah kemerosotan disiplin pelajar menjadi antara cabaran besar kepada sistem pendidikan dan lebih mengusarkan apabila ia turut disumbangkan dengan kes dadah di peringkat sekolah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, guru-guru menjadi tapisan kedua untuk mengenal pasti kelakuan pelik pelajar-pelajar di sekolah dan boleh diatasi lebih awal selepas ibu bapa di rumah.

"Komuniti atau masyarakat hari ini perlu peka dengan keadaan semasa jiran-jiran ataupun orang yang kita kenali. Perlu ada sikap jaga tepi kain orang untuk memastikan gejala najis dadah ini dapat dibanteras dari awal lagi," katanya.

Tambahnya, Kedah kini berada di tangga kelapan bilangan tertinggi penagih dadah di negara ini dan rokok, ketum serta pengaruh rakan sebaya antara faktor awal penagih terlibat dengan gejala ini.

Program yang berlangsung selama setengah hari itu dihadiri hampir 500 guru kaunselor dari seluruh Kedah yang mengikuti tiga slot berkaitan usaha menangani dadah di peringkat akar umbi.

Hadir sama Ketua Sektor Kaunseling Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Mohd Azit Selamat dan Ketua Jabatan Psikiatrik Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Omar Ali.