Malaysia Madani bukan satu propaganda

Hassan
Hassan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri pada Khamis bukan satu propaganda tetapi merupakan rangka dan isi kandungan falsafah perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak sekian lama.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, visi Malaysia Madani tersebut mengandungi nilai-nilai universal yang baik.

"Kita mendoakan agar nilai-nilai murni dalam visi Malaysia Madani yang dibawa oleh Anwar seperti prinsip keadilan, kebebasan dan sifat ihsan sesama manusia beroleh kejayaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Anwar semasa menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani pada Khamis, berkata, konsep madani yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan pimpinannya menggariskan enam tonggak panduan bagi mengemudi negara.

Perdana Menteri berkata, negara dan peradaban yang akan dibangunkan kelak haruslah mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, punyai keyakinan dan bersifat ihsan (madani).

Mengulas lanjut, Hassan berkata, konsep diperkenalkan Anwar itu sama seperti beberapa Perdana Menteri sebelum ini yang mempunyai visi dan jasa masing-masing termasuk Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kata beliau, antara visi dan legasi Tunku Abdul Rahman ialah berjaya meninggalkan sebuah dokumen Perlembagaan Persekutuan yang masih diguna pakai sehingga ke hari ini.

Bagi pemerintahan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pula katanya, tiada visi atau wawasan diumumkan secara rasmi sebagai falsafah perjuangannya tetapi beliau adalah seorang yang praktikal dan pragmatik dengan mengutamakan keberhasilan yang nyata.

"Dalam zamannya sejak 1971 satu kejuruteraan masyarakat dilancarkan dengan dasar-dasar radikal seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat.

"Tun Razak meninggalkan legasinya iaitu DEB, Rancangan Bumi Hijau, pembukaan tanah-tanah rancangan Felda tetapi Tun Razak juga diingati dengan dasar luar negaranya yang aktif bebas berkecuali melalui prinsip teras ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality)," ujarnya.

Hassan berkata, tidak banyak yang dapat diperkatakan tentang visi atau wawasan Perdana Menteri Malaysia ketiga, Tun Hussein Onn tetapi apa yang paling menonjol adalah sikap tegasnya dalam membasmi rasuah.

Perdana Menteri keempat katanya, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dikenang dengan nilai-nilai murni menerusi konsep bersih, cekap dan amanah selain Wawasan 2020 yang diperkenalkannya.

Menurutnya, Perdana Menteri yang seterusnya seperti Tun Abdullah Badawi tetap mempunyai jasanya seperti memperkenalkan Islam Hadari dan meninggalkan legasi mengembalikan kebebasan badan kehakiman.

"Jasa baik Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tak dapat dinafikan. Pelbagai bantuan subsidi dan program membantu rakyat B40, pekerja, peniaga kecil dan sederhana di bawah program Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin)," katanya.

Sementara di bawah pentadbiran Perdana Menteri kesembilan katanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah visi Keluarga Malaysia berjaya meluluskan dua pindaan Perlembagaan Persekutuan yang rumit.

"Pertama berkaitan Perjanjian Malaysia tahun 1963 yang melibatkan Sabah dan Sarawak diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kedua, Ismail Sabri berjaya menggubal Undang-undang Akta Anti Lompat Parti dalam bentuk pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!