Malaysia Madani, konsep baharu gantikan Keluarga Malaysia

Anwar menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani : Visi dan Kerangka Dasar Reformasi pada Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani : Visi dan Kerangka Dasar Reformasi pada Majlis Pelancaran Wacana Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri akan digantikan dengan jenama baharu iaitu 'Membangun Malaysia Madani' susulan berlakunya pertukaran kepimpinan dalam pentadbiran negara.

Penjenamaan baharu itu merupakan sebahagian daripada tema majlis dialog Belanjawan 2023 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengenai membangunkan Masyarakat Madani.

Ia merupakan perkara biasa dalam tradisi setiap pentadbiran, selepas ini tiada lagi Keluarga Malaysia dan hanya slogan 'Membangun Malaysia Madani' yang akan diuar-uarkan kepada rakyat.

Media melaporkan, Anwar mengajak orang ramai mengikuti dan memahami amanat 'Membangun Malaysia Madani'.

Perdana Menteri berkata, ia sebagai usaha dan upaya untuk mencipta lonjakan baharu buat negara.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, Malaysia Madani akan menjadi satu gagasan baharu yang memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

Ujarnya, tiga perkara yang disebut Perdana Menteri menjadi keutamaan strategik Kerajaan.

"Ini termasuklah usaha membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula ekonomi serta memulih dan menjana ekonomi negara," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Timbul persoalan mengenai pemahaman konsep Madani dalam kalangan rakyat berbilang kaum terutamanya masyarakat bukan Islam kerana perkataan itu kedengaran seperti bahasa Arab.

Bagaimanapun, perkara itu dileraikan oleh kenyataan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang mana kementeriannya akan memainkan peranan serta proaktif dalam mempromosi konsep berkenaan.

"Pelbagai program menarik dan bertepatan dengan konsep Malaysia Madani atau Masyarakat Madani yang diilhamkan Anwar akan dirangka dalam usaha memupuk masyarakat bertamadun serta menyemarakkan semangat perpaduan.

"Kita akan berusaha mempromosikan konsep Madani ini dalam kalangan rakyat negara ini yang berbilang kaum. Hampir semua kementerian akan terbabit dalam menjayakan gagasan ini.

"Kementerian Perpaduan Negara yang diberikan mandat menjayakan gagasan ini akan melaksanakan aktiviti secara menyeluruh dalam usaha melahirkan masyarakat baik, mampan, sejahtera, mempunyai daya cipta, nilai hormat dan keyakinan sertai ihsan selain bersopan santun," ujarnya.