MCMC sekat 1.8 bilion panggilan scam sejak 2017

Fahmi ketika ditemui pemberita selepas sambutan Rumah Terbuka MCA pada Ahad.
Fahmi ketika ditemui pemberita selepas sambutan Rumah Terbuka MCA pada Ahad.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menyekat sebanyak 1.8 bilion nombor panggilan 'scam' sejak 2017 sehingga kini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, data tersebut dimaklumkan melalui hasil pertemuan dengan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bersama MCMC.

Selain itu, menurutnya, sebanyak 300 juta nombor telefon scammer menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berjaya dikekang sejak 2018, namun kes penipuan itu masih berlaku.

"Peringatan saya kepada rakyat Malaysia, tolong berhati-hati dalam suasana perayaan Tahun Baharu Cina ini kerana sudah pasti akan ada yang menangguk di air keruh untuk mengambil kesempatan.



"Saya minta jika anda menjadi mangsa scam, tolong hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), di talian 997 untuk membuat lporan. Kita akan bantu untuk mengekang permasalahan ini," katanya kepada petigas media selepas sambutan Rumah Terbuka MCA pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia.

Mengulas mengenai isu penipuan membabitkan media sosial, Telegram, Fahmi berkata, pihaknya sedang menghubungi platform berkenaan bagi menyelesaikan isu itu.

"Kita akan menghubungi pihak Telegram untuk membanteras isu 'scam' ini.

"Tetapi, peringatan kepada semua, jika anda mendapat mesej seperti kawan kita, tetapi cara dia cakap lain dan meminta atau meminjam wang, tolong berhati-hati.

"Kalau dapat panggilan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), polis atau mahkamah, jangan terpedaya kerana semua badan kerajaan akan menhantar surat rasmi dan bukan panggilan," ujarnya.