Pemandu bas pandu melulu, potong 'double line' ditahan

Bas yang dipandu lelaki berusia lingkungan 60-an yang ditahan di Kuala Krai.
Bas yang dipandu lelaki berusia lingkungan 60-an yang ditahan di Kuala Krai.
A
A
A

KUALA KRAI - Polis trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai malam Ahad menahan seorang pemandu bas ekspres yang memandu secara melulu dan berbahaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, pemandu itu ditahan ketika Op Selamat selepas menerima laporan orang awam yang melalui kawasan Laloh.

Beliau memberitahu, siasatan mendapati pemandu bas ekspres berkenaan memotong garisan berkembar ketika dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

"Tindakan melulunya mengakibatkan kereta yang dipandu pengadu dari arah bertentangan terbabas dan hampir melanggar sebuah kenderaan lain ketika hendak mengelak," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Menurut Kamarulzaman, pengadu kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran dan pasukan trafik terus bertindak melakukan risikan.

"Kita berjaya mengesan serta menahan pemandu bas berusia dalam lingkungan 60-an di Kilometer 74 Jalan Kota Bharu-Gua Musang pada jam 11 malam.

"Pemandu bas kemudiannya dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuala Krai untuk siasatan lanjut," katanya.

Tambah beliau, jika disabitkan kesalahan individu itu boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang dari RM5,000 atau tidak lebih daripada RM15,000.

Sementara itu, Kamarulzaman turut memberitahu, pihaknya mengeluarkan sebanyak 198 saman melibatkan pelbagai kesalahan melalui operasi yang bermula 18 Januari lalu.

Katanya, antara kesalahan utama ialah memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon semasa memandu dan melanggar lampu merah.

"Sebanyak 30 kemalangan direkodkan dan kawasan hot spot kesesakan di Kuala Krai ialah di lampu isyarat Guchil, Jambatan Sungai Durian dan Simpang Chenulang," katanya.

Pada masa sama katanya, dua kenderaan turut disita iaitu kereta Perodua Kancil dan bas ekspres selain 17 kes tangkapan terhadap orang disaman yang berstatus waran tangkap dilakukan.