BesutMaju, AADK suntik kesedaran bahaya dadah

Mohd Nawawi (empat dari kanan) bergambar bersama wakil AADK serta ahli Pertubuhan BesutMaju ketika menghadiri program BesutMaju Cakna Bersama Membasmi Dadah di Politeknik Besut pada Sabtu.
Mohd Nawawi (empat dari kanan) bergambar bersama wakil AADK serta ahli Pertubuhan BesutMaju ketika menghadiri program BesutMaju Cakna Bersama Membasmi Dadah di Politeknik Besut pada Sabtu.
A
A
A

BESUT - Pertubuhan BesutMaju bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu mengadakan kolaborasi bagi menyuntik kesedaran bahaya dadah serta meningkatkan lagi kecaknaan masyarakat terhadap penyalahgunaan bahan terlarang itu.

Pengerusi Pertubuhan BesutMaju, Datuk Mohd Nawawi Ismail berkata, usaha itu dilakukan sebagai inisiatif dan kecaknaan pertubuhan itu memandangkan daerah itu juga tidak terlepas daripada jenayah dadah.

"Semua pihak harus memainkan peranan memerangi dadah kerana tanggungjawab itu bukan hanya terletak di bahu badan penguatkuasaan kerajaan semata-mata.

"Ahli-ahli kita sedar bahawa daerah Besut tidak bebas dari masalah dadah sebab itulah kita ambil inisiatif ini kerana tanggungjawab memerangi dadah, memberi pencerahan dan mengadakan kempen begini bukan bergantung kepada kerajaan.

"NGO (badan bukan kerajaan) juga harus mengambil peranan dan tindakan positif dalam memberi kesedaran antaranya terhadap ancaman dan implikasi dadah, " katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menghadiri program BesutMaju Cakna Bersama Membasmi Dadah di Politeknik Besut pada Sabtu.

Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Pengerusi Pertubuhan Besut Maju, Hazmin Mat Yusof dan Naib Pengerusi BesutMaju yang juga Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Dalam pada itu, Mohd Nawawi berkata, langkah itu diambil bagi menggambarkan ketegasan dalam memerangi jenayah dadah sekali gus menunjukkan rasa tidak suka terhadap perlakuan jenayah itu.

Tegas beliau, fokus utama yang perlu diberi perhatian ialah mahu mencapai objektif tiada ahli masyarakat yang baharu terjebak dalam jenayah ini.

Katanya, isu itu tidak hanya tertumpu kepada satu kelompok kerana ia boleh berisiko kepada pelbagai peringkat usia dan golongan masyarakat.

"Kita mahu tunjukkan rasa tidak suka kita terhadap jenayah ini di mana kita harus memandang jijik terhadap penyalahgunaan dadah yang mana ia adalah satu jenayah perlu diperangi semua peringkat masyarakat.

"Kita harap mereka yang hadir pada program ini dapat menyebarkan input yang diperoleh kepada individu lain," ujar beliau.