Ditahan ketika pindah diesel haram

KPDN Putrajaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah premis di Hulu Langat, Selangor pada Khamis.
KPDN Putrajaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah premis di Hulu Langat, Selangor pada Khamis.
A
A
A

HULU LANGAT - Kelekaan sekumpulan lelaki memindah diesel bersubsidi secara haram di sebuah premis tidak bernombor di Jalan Kuari Sungai Long, di sini dikejutkan dengan serbuan penguat kuasa pada Khamis.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Adam berkata, serbuan pada jam 5.15 petang itu dijalankan sepasukan anggota KPDN Putrajaya hasil risikan dan maklumat.

Katanya, pemeriksaan di premis terbabit menemui 42,000 liter minyak diesel yang dipercayai diseleweng.

"Empat lelaki termasuk seorang lelaki tempatan ditahan ketika sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel dalam premis tersebut.

"KPDN turut merampas antaranya sebuah lori satu tan, pam bermotor, beberapa hos penyambung, telefon bimbit dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM108,900.

Tambah Azman, premis terbabit juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berhubung kebenaran untuk berurusan berkaitan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel.

"Siasatan lanjut dijalankan untuk mengesan rantaian pengedaran minyak diesel termasuklah sumber perolehannya," katanya.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tegasnya, KPDN memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

"Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini," jelasnya.