Terbuka India: Aaron-Wooi Yik mara, Zii Jia kandas

Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke suku akhir Terbuka India 2023 selepas menewaskan beregu Taiwan. - Foto Badminton Photo
Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke suku akhir Terbuka India 2023 selepas menewaskan beregu Taiwan. - Foto Badminton Photo
A
A
A

BEREGU utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa melalui saingan sengit menentang beregu Taiwan sebelum berjaya melangkah ke suku akhir Terbuka India 2023, malam tadi.

Penyandang juara dunia itu bangkit daripada ketinggalan set pertama 15-21, sebelum mengatasi Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan, 21-19, 21-19, dalam pertarungan selama 55 minit di Dewan Tertitup K D Hadhav.

"Ini adalah kemenangan yang sukar dan memang ia tidak semudah seperti dijangkakan," kata Aaron selepas perlawanan pusingan kedua tersebut.

Hari ini, Aaron-Wooi Yik akan menentang beregu senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada saingan suku akhir selepas Yew Sin-Ee Yi berhempas pulas selama 57 minit untuk menyingkirkan beregu Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren, 21-16, 13-21, 21-19.

Ei Yi berkata, perlawanan tersebut adalah sengit selepas beliau tidak berapa sihat sejak semalam akibat cuaca sejuk di India.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang tersingkir awal pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023, minggu lalu, turut melangkah ke suku akhir.

Beregu wanita negara yang berada pada ranking kelapan dunia itu turut berentap dalam rubber-set untuk mengatasi wakil Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun 21-14, 16-21, 21-16 dalam masa 51 minit.

Pearly-Thinaah akan berdepan dengan gandingan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi untuk memburu tiket ke separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, bagaimanapun, terkandas di pusingan kedua selepas ditunjuk jalan keluar oleh pasangan China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, 21-23, 12-21.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia gagal mara ke suku akhir selepas tewas kepada pemain China, Li Shi Feng 11-21, 21-14, 18-21 dalam perlawanan selama 64 minit.

Shi Feng, juara Remaja Olimpik 2018 akan berdepan dengan wakil Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting di pentas suku akhir.

Dalam satu lagi saingan pusingan kedua, juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark, turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pemain China, Shi Yu Qi, 21-16, 16-21, 21-9.