Gopoh punca Aaron-Wooi Yik tersungkur

Aksi Aaron (kiri) dan Wooi Yik ketika menentang pasangan Indonesia dalam aksi suku akhir Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
Aksi Aaron (kiri) dan Wooi Yik ketika menentang pasangan Indonesia dalam aksi suku akhir Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik harus menyalahkan diri mereka sendiri atas kegagalan mara ke peringkat separuh akhir Masters Malaysia 2023.

Kekalahan 18-21, 19-21 kepada gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dalam aksi suku akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat meleburkan impian Aaron-Wooi Yik meraih kejayaan di laman sendiri.

Sikap kurang sabar menjadi antara faktor yang menyumbang kekalahan buat juara dunia itu yang gagal untuk mengulangi sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir pada edisi tahun lalu.

"Mungkin kami tak cukup sabar sebab bulu tangkis agak perlahan. Pemain lawan pula bijak mencuri mata daripada set pertama lagi.

"Saya dah Aaron cuba perbetulkan rentak kami tapi kadangkala mereka bermain lebih baik. Jadi kami cuba bertahan dan beri yang terbaik.

"Kalau ikutkan game ini, peluang 50-50 sebab cara permainan kami dan mereka lebih kurang sama. Cuma mereka lebih bersedia," kata Wooi Yik kepada pemberita sejurus tamat perlawanan.

Kekalahan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal menempah pertemuan menentang rakan sepelatih mereka, Man Wei Chong-Tee Kai Wun di peringkat separuh akhir.

Wei Chong-Kai Wun memahat sejarah tersendiri apabila mengejutkan gandingan handalan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 23-21, 21-17 dalam satu lagi aksi suku akhir

Gandingan muda negara yang kini menduduki ranking ke-26 dunia itu bakal menentang Leo Rolly-Daniel dalam aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung malam ini.