Jangan cakap saya 'besar kepala' - Zii Jia

Zii Jia. - Foto Agensi
Zii Jia. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menyuarakan rasa terbuku di hati berhubung isu terbaharu melibatkan para pemain profesional dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Perasaan bekas juara Seluruh England itu diluahkan menerusi komen di Instagram jurulatihnya, Wong Tat Meng yang terkejut apabila BAM tidak membenarkan pakaian jenama sukan selain penaja badan induk itu.

“Jangan nanti cakap saya ‘besar kepala’ tak datang training pulak. Aishhhhh... susah ni nak jadi LZJ semua salah I (saya) pening,” katanya menerusi komen balas di status Tat Meng.

Komen berkenaan mendapat tanda suka yang begitu 'meriah' dengan rata-rata warganet meluah sokongan terhadap tindakan Tat Meng dan Zii Jia.

Terdahulu, Tat Meng menyuarakan rasa 'dibuli' dengan peraturan tersebut yang dikuat kuasa ketika para pemain negara giat berlatih bagi mengharungi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark minggu depan.

“Sebelum Kejohanan Dunia, BAM beritahu kami bahawa mereka mewajibkan pemain profesional tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja BAM jika mereka ingin menjalani latihan bersama pada Rabu.

“Saya amat terkejut dengan peraturan ini kerana ia dikuat kuasa ketika persiapan menjelang Kejohanan Dunia.

"Sejak Disember tahun lalu, BAM menjemput Zii Jia berlatih bersama pemain naungan BAM setiap Rabu dan kami berbesar hati kerana dapat mencapai situasi menang-menang termasuk membantu pemain BAM meningkatkan tahap mereka.

Artikel Berkaitan:

“Konflik penajaan bukan sahaja pertimbangan BAM, ia juga melibatkan pasukan kami. Zii Jia, malah barisan jurulatih serta pakar kecergasan dan fisio kami. Atas faktor itu kami tidak dapat memenuhi jemputan latihan ke ABM sebelum ke Denmark,” ujarnya.

BAM ketika ini ditaja oleh syarikat peralatan sukan terkemuka, Yonex, manakala Zii Jia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor selepas dia meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional awal tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurulatih Zii Jia terkejut peraturan 'pelik' BAM